Bojan Hodak sayangkan Indonesia? 4 jurulatih negara Balkan calon sesuai buat Terengganu FC, Selangor FC


  • Podium
  • Isnin, 18 Nov 2024

Mario antara jurulatih paling muda di dalam senarai.

PIHAK pengurusan Penang FC telah mengumumkan bekas pembantu jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City), Wan Rohaimi Wan Ismail sebagai pengendali baharu Harimau Kumbang bagi menggantikan Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang direhatkan susulan prestasi tidak menentu kelab dari utara itu.

Pelantikan Wan Rohaimi kini meninggalkan Terengganu FC dan Selangor FC yang masih belum mempunyai ketua jurulatih sebelum saingan Piala Malaysia 2024 bermula pada 20 November nanti.

Kedua-dua pasukan itu dikaitkan dengan ketua jurulatih Persib Bandung, Bojan Hodak yang sudah terbukti kejayaannya bersama kelab-kelab Liga Super sebelum berhijrah ke Indonesia.

BACA LAGI: [VIDEO] Masalah gaji landa kelab Liga M, peluang Selangor, Terengganu intai perkuat ‘squad depth’ musim depan

BACA LAGI: 'Ikut Tomi balik kampung ke?', fans Terengganu 'detect' kehilangan pemain import

Namun begitu, menerusi laporan media, Bojan menafikan akan menyertai Selangor atau Terengganu kerana masih mempunyai kontrak bersama juara Liga 1 Indonesia sehingga 2026.

Tidak dinafikan jurulatih kelahiran negara-negara Balkan seperti Bojan amat diminati oleh kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) kerana teknik kejurulatihan mereka dalam melatih pemain-pemain tempatan yang begitu efektif.

Jikalau Bojan menolak untuk kembali ke Liga M, Majoriti senaraikan empat jurulatih dari negara Balkan yang pernah melatih pasukan di rantau Asia Tenggara dan kini bergelar ejen bebas:

Nenad Bacina

Musim lalu Nenad menggantikan Bojan di KL City.

1. Nenad Bacina

Bekas jurulatih KL City, Nenad Bacina antara individu yang sering berada dalam barisan kejurulatihan Bojan semasa di Johor Darul Ta'zim (JDT), Harimau Muda dan PSM Makassar (Indonesia).

Pengendali berusia 53 tahun itu juga mempunyai pengalaman sebagai ketua jurulatih di Liga Singapura bersama Woodlands Wellington, Hougang United dan Tampines Rovers.

Selain itu, jurulatih kelahiran Croatia ini juga mendapat kepercayaan daripada kelab Arab Saudi, Al-Fayha untuk dilantik sebagai Pengarah Akademi Al-Fahya pada 2022 sebelum kembali ke Malaysia musim lalu.

Antara kejayaan yang pernah dikecapi oleh Nenad ialah Piala Singapura, Piala Malaysia, Liga Super dan Piala AFF Bawah-19 Tahun (B-19).

Petar Segrt

Petar berjaya musnahkan impian Harimau Malaya untuk menjulang Piala Pestabola Merdeka pada 2023.

2. Petar Segrt

Bekas pengendali skuad kebangsaan Tajikistan dan Afghanistan, Petar Segrt mungkin antara calon sesuai untuk mengemudi Selangor atau Terengganu.

Personalitinya sebagai seseorang yang ramah serta pengalaman sekitar Asia menyaksikannya dicanang untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Nidzam Jamil dan Tomislav Steinbruckner baru-baru ini.

Petar juga mempunyai pengalaman dalam mengendalikan kelab Indonesia apabila beliau dilantik sebagai jurulatih Bali Devata dan PSM Makassar.

Selepas itu, pengendali berusia 58 tahun itu naik pangkat apabila dilantik menjadi jurulatih Afghanistan, Maldives dan Tajikistan.

3. Mario Gjurovski

Mungkin penyokong bola sepak Malaysia tidak mengenali Mario Gjurovski dengan lebih dekat sebagai jurulatih.

Ini kerana Mario yang dahulunya pemain import di Liga Thailand terus dinaikan pangkat sebagai pengendali Muangthong United pada 2020.

Jurulatih berusia 38 tahun itu memacu Muangthong United untuk merekodkan 46 kemenangan dalam 99 perlawanan sepanjang empat tahun bersama kelab itu.

Kini bekas pemain nasional Macedonia Utara itu sedang bergelar ejen bebas dan pastinya tertarik untuk membimbing dua kelab gergasi Liga M jika mendapat tawaran yang setimpal.

Slavisa Jokanovic

Jokanovic pernah membimbing kelab Inggeris.

4. Slavisa Jokanovic

Antara calon gred A buat Selangor dan Terengganu jika mahu membawa Slavisa Jokanovic menyertai Liga Malaysia bagi memperkukuhkan pasukan masing-masing.

Bekas pemain Chelsea itu pernah mengendalikan kelab Thailand, Muangthong United semasa awal kariernya sebagai jurulatih sebelum menarik perhatian kelab-kelab Inggeris.

Watford FC, Fulham FC dan Sheffield United antara kelab Inggeris yang pernah mendapatkan sentuhan Jokanovic sebelum beliau bergelar ejen bebas tahun lalu.

Pengendali kelahiran Serbia ini juga berjaya membantu Muangthong United menjuarai saingan Liga Thailand pada musim 2011-2012 sebelum kembali ke Eropah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram