HARIMAU Malaya menepati ramalan apabila tidak mempunyai masalah mencatat kemenangan 3-1 ke atas Laos pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium PAT, Bangkok, Thailand pada Khamis.
Walaupun perlawanan Harimau Malaya menentang Laos agak perlahan dek hujan lebat membasahi bumi Thailand, namun sekurang-kurangnya jaringan Harith Haiqal dan dua penalti menyelamatkan Malaysia untuk meraih kemenangan.
Penalti pertama diperolehi menerusi Stuart Wilkin selepas dijatuhkan oleh pemain Laos, Sengdaovy Hanthavong dan Sergio Aguero pula memberi gol ketiga menerusi sepakan penalti pada minit ke-83 permainan.
BACA LAGI: Lemau lawan Laos, fans anggap Harimau Malaya bernasib baik menang 2 penalti
Kemenangan ketiga dibawah kendalian Pau Marti Vicente itu bagaimanapun mendapat kritikan apabila Malaysia masih menurunkan beberapa pemain utama meskipun hanya berdepan pasukan berada pada ranking 187 FIFA itu.
Apabila Malaysia hanya mampu mendapatkan kemenangan menerusi penalti berdepan Laos, penyokong mula khuatir jika skuad kebangsaan akan kehilangan pemain utama dari Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor menjelang Kejohanan Asean 2024 (Piala AFF).
Kemungkinan besar bakal tiada pemain JDT dan Selangor akan dibawa ke kejohanan itu kerana komitmen dalam saingan di pentas Asia susulan saingan Liga Juara-Juara Elit (ACLE) serta ACL2 untuk Gergasi Merah.
Hal ini membuatkan para penyokong berharap agar pemain warisan yang dicanang akan menyertai Harimau Malaya iaitu Wan Kuzain Wan Kamal dan Sam Sherring untuk mewakili skuad kebangsaan ke Piala AFF.
Menerusi kemas kini oleh laman Transfermarkt, Wan Kuzain yang kini beraksi bersama St Louis City 2 dan pemain MK Dons, Sherring diletakkan selaku tonggak yang memiliki kerakyatan Malaysia ketika ini.
Tidak dinafikan ramai gembira dengan senarai bocor berkenaan namun tidak kurang juga ada suara-suara kurang enak didengari apabila segelintir peminat kurang berminat dengan kehadiran Wan Kuzain dalam kem Harimau Malaya.
Tangkap layar senarai dari Transfermarkt.
Ia selepas sikap tarik tali untuk menyarung jersi Harimau Malaya yang ditunjukkan pemain berusia 26 tahun itu sebelum ini, selain kecederaan semasa dikhuatiri akan menjadi beban pada kemudian hari.
Bagaimanapun, ia sekadar persepsi sesetengah penyokong. Prestasi Wan Kuzain dan Sherring sewajarnya hanya boleh dinilai selepas kedua-duanya rasmi bermain bersama skuad kebangsaan selepas ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram