'Kau tunggu', Safawi, Syifa beri amaran lepas wajah anak jadi bahan ejekan


  • Podium
  • Selasa, 19 Nov 2024

Safawi (kiri) dan Syifa akan melancarkan siasatan terhadap pihak yang menghina anaknya di media sosial.

KEGEMBIRAAN pasti dirasai bintang bola sepak negara, Safawi Rasid bersama pasangannya, Syifa Melvin apabila mereka dikurniakan seorang anak lelaki pada September 2023.

Mereka yang membina rumahtangga dua tahun lalu pasti bersyukur dengan cahaya mata, Saif Sulaiman Safawi dengan perkara itu turut diraikan peminat bola sepak tanah air.

Namun, sikap iri hati sesetengah pihak terhadap pasangan itu tidak boleh dielakkan kerana baru-baru ini, anak mereka menjadi bahan hinaan pengguna media sosial.

BACA LAGI: [VIDEO] Safawi Rasid menangis Syifa Melvin buat kejutan hamil anak kedua

BACA LAGI: Safawi bakal bergelar bapa, Syifa Melvin minta tip warganet, menghitung hari bersalin

Perkara itu dikongsikan di laman Instagram Palatao Bola yang memuat naik tangkap layar mesej diterima Syifa daripada pengguna media sosial menggunakan nama Nur Lily Ilyani.

Kata-kata berkenaan sudah tentu mencalarkan hati pasangan berkenaan kerana anak mereka yang berusia kira-kira setahun itu disamakan dengan perkara tidak senonoh.

Kecewa akan perkara tersebut, Safawi kemudiannya tampil memberi respons dengan mengatakan tindakan akan diambil terhadap dalang yang hanya berselindung di sebalik akaun palsu tersebut.

"Saya cari sampai dapat, kau tunggu," tulis pemain pinjaman Terengganu FC itu sebagai tanda bahawa keluarganya akan mencari jalan untuk mengesan individu tidak bertanggungjawab berkenaan.

Meskipun proses menjejak pihak tersebut sukar dilakukan, kerjasama daripada pelbagai agensi sudah tentu akan diambil bagi mengenal pasti sesiapa yang melakukan penghinaan sedemikian.

Malah, Syifa juga difahamkan sudah membuka langkah dengan membuat laporan kepada Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC) untuk mengesan individu berkenaan.

"Maaf ya lambat buat laporan terhadap awak kerana baru sahaja turun dari Bukit Tinggi, Pahang. Maaf sangat. Esok kita pergi ke MCMC kerana sudah ditutup pada waktu malam," tulisnya.

Tindakan melakukan penghinaan sedemikian tidak sepatutnya dilakukan terhadap mana-mana pihak tanpa mengira latar belakang kerana ia akan memberi kesan terhadap keluarga dan kenalan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram