BOLA sepak Malaysia kecoh seketika apabila ketika aksi Liga Super antara Perak FC dengan Johor Darul Ta'zim (JDT), dua pemain iaitu Tommy Mawat Bada dan Arif Aiman terlibat dalam pergaduhan.
Pergaduhan tersebut menimbulkan pertikaian penyokong kerana tindakan pengadil dianggap "lembut" kerana sekadar memberikan kad kuning kepada kedua-dua pemain.
Namun begitu, insiden tersebut tidak berakhir di situ. Saat insiden di padang sudah tamat, perkara tidak diingini berlaku di luar padang apabila Tommy menjadi sasaran serangan perkauman oleh penyokong.
BACA LAGI: 'Saya bangga ada darah Dayak', Tommy Mawat bersuara lepas fans tinggalkan komen 'bakar line'
Tommy menjadi mangsa serangan perkauman hinggakan dia bersuara di medial sosial berkaitan perkara itu.
"Semua bebas untuk bersuara. Nak marah, tegur, maki semua boleh. Kita hanya manusia biasa dan hidup di atas muka bumi yang sama. Jika marah sekali pun jangan sebut mengenai keluarga dan kaum (Dayak).
"Betul saya dilahirkan sebagai Dayak dan ia kekal berada dalam darah saya. Sehingga ke hari ini, saya masih berbangga menjadi Dayak. Untuk semua, jangan bangkitkan isu perkauman (anda akan menyesal kemudian)," ujarnya.
Tangkap layar respons Tommy mengenai serangan perkauman diterimanya.
Melihat kepada perkara itu, pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim melihat perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
Padanya, bola sepak seharusnya kekal sebagai sebuah sukan meraikan semua bangsa dan tidak perlu mengaitkan perkauman di dalamnya.
"Pada saya, bukan kedua-dua pemain bermasalah tetapi masyakarat kita bermasalah. Masyarakat kita suka nak kaitkan dengan semua perkara dengan hal perkauman.
"Bola sepak itu bola sepak, tidak ada kena mengena dengan kaum pun. Dari pelbagai perkara termasuk berkaitan agama, pendidikan, semua nak dikaitkan dengan perkauman," kata Zulakbal kepada Majoriti.
Walaupun pahit untuk diakui, tetapi Zulakbal berkata serangan perkauman mula menjadi perkara biasa dalam bola sepak. Katanya, di negara-negara lain pasti ada yang bertindak sedemikian.
Dia mengakui risau situasi tersebut akan mula menular dalam bola sepak tempatan. Oleh itu, dia mencadangkan agar pihak yang sepatutnya mengambil langkah untuk menyebarkan kesedaran mengenai isu perkauman dalam bola sepak.
Pihak seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Perpaduan Negara boleh bersama-sama mengadakan kempen anti-perkauman dalam boal sepak.
Malah, badan penganjur liga seperti Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) boleh turut serta untuk memastikan mesej yang hendak disampaikan berkesan.
"Pihak FAM dengan Kementerian Perpaduan Negara boleh bekerjasama untuk mengadakan kempen anti-perkauman dengan melakukan secara besar-besaran. Kempen itu perlu diperluas ke semua peringkat, bukan saja di tahap senior saja tapi di peringkat belia, akar umbi dan sebagainya.
"Sifat perkauman ini sangatlah old-school, zaman sekarang patutnya tak ada dah. Siapa yang ada kemampuan, dia akan maju, bukannya ikut kaum," jelas Zulakbal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram