JODOH pemain muda kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin bersama kelab Jepun, Yokohama SCC, dilaporkan bakal berakhir.
Pemain berusia 22 tahun itu menyertai pasukan Divisyen ketiga Jepun tersebut awal tahun ini secara pinjaman dari kelab Belgium, KV Kortrijk.
Namun, Luqman menghadapi cabaran sengit untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.
BACA LAGI: Bola sepak Malaysia tak gagal, individu dalam industri yang gagal — TMJ
BACA LAGI: [VIDEO] Ikut jejak langkah Bergson, Neymar terbuka sertai bekas kelab bintang JDT
Kini, Luqman kembali buat sementara waktu ke Malaysia dan mengesahkan bahawa dia akan menamatkan kariernya di Jepun sebelum pulang ke kelab asalnya.
“Saya sekarang ini beraksi di Yokohama SCC secara pinjaman dan selepas habis ini saya akan pulang ke Belgium bersama KV Kortrijk,” katanya.
Luqman turut menjelaskan bahawa kontraknya bersama KV Kortrijk akan tamat pada pertengahan tahun depan, namun dia masih belum membuat keputusan mengenai langkah seterusnya.
“Kontrak saya akan tamat di Belgium bulan lima tahun 2025. Insya-ALLAH, kita tunggu rezeki mana yang sampai,” jelasnya ketika menjalani sesi latihan sendirian di Hitfat.
Menerusi laporan laman Transfermarkt, kontrak Luqman bersama Yokohama SCC dijangka berakhir pada Disember ini sebelum bekas pemain Selangor itu kembali ke KV Kortrijk.
Sepanjang bersama Yokohama SCC, Luqman telah melakukan sembilan penampilan dengan kali terakhir beraksi dalam perlawanan menentang Imabari pada 12 Oktober lalu.
Anak jati Kelantan itu dilihat berada di Malaysia sejak awal November meskipun saingan Yokohama SCC masih berjalan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram