PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan bola sepak Malaysia tidak gagal selepas Harimau Selatan membuktikan kejayaan mereka di pentas Asia.
Tunku Mahkota Ismail juga mengemukakan bukti bahawa bola sepak Malaysia berada di landasan yang tepat beberapa tahun kebelakangan ini dengan JDT antara pasukan yang paling banyak menyumbang buat negara.
"Kadangkala ia sukar untuk difahami kenapa sesetengah pihak menganggap bola sepak Malaysia sebagai gagal sedangkan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) telah berkembang menjadi pasukan nombor satu di Asia Tenggara dan keenam di Asia berdasarkan Opta Power Rankings.
"Malaysia juga telah layak ke Piala Asia untuk pertama kali sejak 40 tahun.
"Prestasi JDT di Asia telah menyumbang 21.54 (68.7 peratus) daripada 31.33 mata ranking MA Malaysia sejak 2015 hingga membenarkan lebih banyak kelab-kelab Malaysia menyertai pertandingan Asia.
"JDT juga muncul satu-satunya kelab Asia Tenggara yang memenangi Piala AFC (2015). JDT juga antara kelab yang mempunyai fasiliti terbaik termasuk perubatan di Asia yang menepati kehendak bola sepak moden.
"Ini antara pencapaian hebat yang tak pernah dicapai oleh mana-mana pasukan dalam Malaysia atau dalam industri bola sepak tempatan," katanya dalam satu kenyataan.
Tunku Mahkota Ismail juga mempersoalkan kenapa peminat bola sepak menunding jari kepada JDT apabila pasukan lain tidak mampu bersaing dengan 'standard' juara sedekad Liga Super itu.
Pemilik Harimau Selatan itu berpendapat individu-individu dalam bola sepak Malaysia yang tidak kompetitif menjadikan liga semakin kurang menarik.
"Jadi bagaimana bola sepak Malaysia dikira gagal apabila ada satu pasukan mampu berjaya di Asia? Disebabkan gaji yang tertunggak, kekurangan infrastruktur bola sepak, kekurangan pembangunan akar umbi di peringkat kelab atau pengurusan yang tidak baik?
"Ini semua disebabkan adanya ramai individu yang tidak berkelayakan berada dalam industri sukan.
"Bola sepak tidak gagal, ia adalah individu-individu dalam pasukan-pasukan yang gagal mengurus dan meningkatkan 'standard' serta mereka yang sentiasa menyokong dan bukannya memberikan tekanan terhadap kegagalan itu.
"Sebelum kita menuding jari dan mencari kesalahan pada sistem atau JDT meskipun Harimau Selatan berjaya di Asia termasuk penganugerahan ‘AFC Two-Star Academy’, ia adalah lebih wajar jika kita melihat apa yang berlaku dari dalam dan mendesak perubahan, bermula dengan pasukan masing-masing.
"Sebuah liga dengan pasukan-pasukan yang diuruskan dengan baik serta mempunyai fasiliti moden dan pembangunan program-program akar umbi yang kuat di peringkat kelab akan meningkatkan lagi standardnya," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram