PERBICARAAN berhubung tuntutan gaji 16 bulan oleh Datuk Lim Teong Kim ke atas bekas majikannya, Perak FC akan bersambung pada Selasa selepas diputuskan Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur.
Peguam kepada bekas Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak itu, Edward Saw berkata, perubahan mahkamah juga tidak memberi kesan kepada proses perbicaraan itu.
"Tidak (beri kesan), ini kerana aduan dan proses pendamaian dibuat di Ipoh, Perak. Tetapi, bagi perbicaraan, pihak di Putrajaya sudah merujuk (kes) ke Kuala Lumpur. Jadi, tiada beza," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: 'Rumah kita di Perak', kain rentang lambang protes berterusan fans TBG
BACA LAGI: Tak perlu beri muka, pemain lokal Kelantan wajar ambil contoh skuad TBG lapor isu pengurusan
Teong Kim membuat tuntutan terhadap skuad TBG berhubung isu gaji.
Pada November tahun lalu, peguam yang sebelum ini mewakili Teong Kim, Adam Yap berkata, kemelut mengenai tuntutan itu gagal diselesaikan selepas terdapat usaha pihak pengurusan skuad The Bos Gaurus (TBG) untuk melunaskan hutang itu.
Bagaimanapun, jumlah ditawarkan dilaporkan terlalu rendah, sekali gus memaksa kes tersebut dibawa ke Mahkamah Perusahaan untuk mencari kata persetujuan antara kedua-dua pihak.
Tuntutan itu dahulunya dibuat selepas bekas pengendali Perak FC itu berasakan keputusan pihak pengurusan kelab menamatkan kontraknya adalah tidak sah dan mahu baki gaji dilunaskan.
Dia digugurkan daripada jawatannya selepas hanya beberapa bulan memikul peranan berkenaan berikutan keputusan tidak memuaskan sepanjang bergelar ketua jurulatih pasukan.
Untuk rekod, Perak hanya memenangi dua perlawanan Liga Super selain seri tiga kali dan tewas tujuh kali di bawah kendalian Teong Kim yang hadir dengan reputasi cukup baik.
Hanya mengumpul sembilan mata dalam 12 perlawanan, prestasi itu sudah pasti bukan yang diharapkan oleh pengurusan pasukan, yang meletakkan harapan tinggi buat bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram