ISU yang melibatkan Kelantan Darul Naim (KDN) FC mengenai visa dan tunggakan gaji pemain import dari Korea Selatan telah menyebabkan pasukan itu berisiko untuk diheret ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Walaupun diberi peluang untuk menyelesaikan isu berkenaan, ketidaksungguhan KDN FC untuk menyelesaikan masalah tersebut dalam tempoh yang dijanjikan telah memaksa ejen pemain untuk membawa aduan terbabit kepada FIFA.
Keadaan tersebut menambah lagi cabaran kepada kelab tersebut yang turut menjejaskan reputasi mereka dalam arena bola sepak antarabangsa.
BACA LAGI: Kelab bawah MFL boleh teruskan program pemain naturalisasi — Hannah Yeoh
BACA LAGI: Tak belajar daripada kesilapan, imbau semula 3 kes sama sebelum kontroversi rasis Tommy Mawat
Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, pemerhati sukan tanah air, T. Avineshwaran terpanggil untuk melontarkan pandangan peribadinya.
Menurutnya, kes yang kini dihadapi oleh KDN FC sememangnya boleh menjadi peluang kepada kelab lain untuk mengambil tindakan terhadap pasukan masing-masing.
Namun, kerana sayang akan pasukan, ada sesetengah pemain enggan memperbesarkan masalah tersebut.
Jeong (kanan) bersama-sama beberapa import Kelantan Darul Naim.
"Saya rasa ia bergantung kepada pemain itu sendiri. Ada pemain yang sangat sayang kepada kelab mereka, jadi mereka enggan membuat laporan dan tidak mahu memperbesarkan masalah tersebut.
"Contohnya, pasukan Kuala Lumpur City FC, terdapat ancaman tindakan undang-undang, tetapi belum ada langkah yang diambil kerana pemain mereka masih sayang kelab tersebut.
"Selain itu, ketika Perak menghadapi kes FIFA akibat tunggakan bayaran, pemain-pemain pada mulanya tidak mahu melaporkan perkara tersebut, namun, selepas mereka kehilangan semangat, barulah tindakan diambil.
"Ini menunjukkan bahawa pemain yang sedar akan hak mereka boleh memilih untuk menggunakan saluran tersebut.
"Pada saya, pemain tempatan juga perlu mengambil inisiatif untuk melaporkan sebarang masalah dan tidak terlalu memberikan muka kepada pengurusan," katanya kepada Majoriti.
Kelantan FC sebelum ini terpalit kontroversi ekoran isu pemecatan Moon-sik hingga kes berkenaan diheret ke FIFA.
Mengulas lanjut mengenai nama baik Liga Malaysia (Liga M) mungkin terjejas berikutan isu tersebut, Avinesh berkata, isu berkenaan sememangnya memberi kesan negatif kepada bola sepak tanah air.
"Sudah tentu ia memberi impak kepada Liga M. Kita juga maklum bahawa situasi seperti ini sudah lama berlaku, mungkin lebih tujuh ke lapan tahun, malah sebelum itu pun sudah ada kes FIFA dan isu-isu serupa.
"Masalah seperti ini biasanya berlaku di Asia Tenggara dan apabila ia berlaku di Malaysia, ia pastinya mencalarkan reputasi Liga M.
"Kita faham bahawa Liga M kini juga berhadapan dengan pelbagai isu lain seperti masalah gaji dan beberapa faktor lain. Semua ini sebenarnya merosakkan kredibiliti komersial liga.
"Walaupun Liga M mempunyai cita-cita untuk berkembang namun, beberapa isu yang berlaku di luar kawalan mereka menyebabkan perkara ini terus berlaku dan ia memberi kesan negatif kepada liga," ujarnya.
Di samping itu, Avinesh turut berpendapat bahawa sekiranya kes itu dibawa ke badan induk antarabangsa, sudah pasti ia akan memberi kesan kepada kelab kerana tidak dapat mendaftarkan pemain baharu.
"Sudah tentu ada impak besar, FIFA akan memberi larangan perpindahan kepada pasukan-pasukan tertentu.
"Kita juga maklum bahawa tahun ini pasukan seperti KL City FC dan Kedah Darul Aman FC tidak dapat mendaftar pemain pada jendela perpindahan kedua.
"Ini sudah pasti akan merencatkan prestasi pasukan kerana mereka tidak dapat memperkukuhkan skuad untuk perlawanan-perlawanan seterusnya.
"Implikasi ini sangat ketara, tetapi yang paling terkesan adalah pemain dan jurulatih, kerana mereka memberikan yang terbaik di padang.
"Malangnya, pengurusan yang lemah telah membawa kepada situasi ini. Kadangkala, kita merasa simpati terhadap jurulatih dan pemain yang terpaksa menghadapi akibatnya," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram