SELEPAS melihat pasukan Perak FC mengalami beberapa siri kekalahan pada aksi perlawanan Liga Super musim ini, pengurusan Perak memutuskan untuk memgugurkan pengendali mereka, Datuk Lim Teong Kim (LTK).
Tindakan drastik itu dilakukan susulan masalah prestasi buruk membelenggu Perak FC apabila hanya memperoleh dua kemenangan selepas 12 pertarungan Liga Super berlangsung.
Pengumuman itu dibuat The Bos Gaurus menerusi laman media sosial mereka pada Khamis.
“Perak FC mengumumkan Datuk Lim Teong Kim tidak lagi bersama skuad Liga Super berkuatkuasa serta-merta. Yusri Che Lah akan mengambil alih tugas sebagai jurulatih sementara untuk masa terdekat.
Kenyataan rasmi mengenai keputusan menggugurkan Teong Kim. — Instagram/PerakFC
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Datuk Lim di atas sumbangannya dan mendoakan yang terbaik untuk karier beliau pada masa hadapan,” kata pihak pengurusan dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, pengendali Perak II, Yusri Che Lah dilantik sebagai jurulatih sementara waktu ketika ini.
Walaupun ada yang bersorak gembira dengan keputusan tersebut, namun ada dalam kalangan penyokong yang berasakan kehilangan jurulatih berpengalaman merupakan satu kerugian buat Sang Seladang.
Berikut adalah tiga kerugian Perak yang boleh disenaraikan selepas menyingkirkan Teong Kim:
1. Kehilangan jurulatih berpengalaman
Teong Kim merupakan bekas jurulatih pasukan remaja Bayern Munich, salah sebuah kelab terkemuka di dunia. — Instagram/PerakFC
Teong Kim merupakan bekas jurulatih pasukan remaja Bayern Munich, salah sebuah kelab terkemuka di dunia. Beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam melatih dan bermain bola sepak di Jerman serta Malaysia.
Dalam usaha membentuk ubi muda skuad Seladang, Teong Kim memegang tanggungjawab yang besar untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan kepakarannya untuk memberi nafas baharu dalam inisiatif pembangunan pasukan tersebut.
Tambahan pula, jurulatih berusia 59 tahun itu merupakan seorang yang dilihat agresif memberi minit permainan kepada pemain muda.
Jadi, selepas digugurkan, timbul tanda tanya mengenai nasib yang akan dihadapi oleh pemain seperti Ilham Aqil, Ikhwan Hafizo, Amirul Akmal dan Alif Zikri yang berumur bawah 20 tahun.
Persoalannya, adakah mereka akan mendapat peluang untuk bermain atau 'terkubur' di bangku simpanan selepas ini?
2. Pemain terpaksa cari keserasian baru
Yusri perlu berusaha memulihkan kembali prestasi pasukan itu dengan mencari kesefahaman antara pemain. — Instagram/PerakFC
Jika dilihat kepada beberapa siri perlawanan Perak FC sebelum ini, percaturan bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu sebenarnya sudah mula membuahkan hasil.
Hal ini kerana pemain dalam skuad asal dan muka-muka baharu dalam kesebelasan utama sudah mula menunjukkan keserasian sekali gus memberi impak kepada corak permainan mereka. Selain itu pemain juga sudah mula mengikut rentak perancangan yang diadaptasikan jurulatih tersebut.
Untuk rekod, Perak FC merekodkan dua kemenangan, tiga seri dan tujuh kekalahan dalam Liga Super musim ini.
Oleh itu, Yusri perlu berusaha memulihkan kembali prestasi pasukan itu dengan mencari kesefahaman antara pemain.
3. Rombakan lebih besar
Sebagai jurulatih baharu yang perlu menggalas tanggungjawab mengemudi kelab di tangga ke-11 Liga Super , ia pastibukan tugas mudah. — Instagram/PerakFC
Setiap jurulatih ada cara dan gaya tersendiri. Sehubungan itu, selepas Yusri mengambil alih skuad Seladang, sudah pasti pasukan itu akan melakukan rombakan pemain secara besar-besaran selepas ini.
Malah taktikal yang digunakan juga sudah pasti berbeza dengan apa yang diterapkan dengan para pemain sebelum ini. Yusri juga sudah semestinya akan menggunakan pendekatan berbeza untuk bersaing dalam Liga Super.
Sebagai jurulatih baharu yang perlu menggalas tanggungjawab mengemudi kelab yang berada di tangga ke-11 Liga Super ketika ini, ia pastinya bukan tugas mudah buat Yusri.
Ditambah dengan harapan tinggi penyokong, Yusri dirasakan perlu membawa sesuatu perubahan kepada skuad Seladang yang turut berdepan masalah prestasi.
Untuk rekod, Teong Kim merupakan jurulatih ketiga yang direhatkan dalam Liga Super musim ini selepas Choi Moon-sik (Kelantan) dan Tomas Trucha (Kelantan United). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram