REKOD pertahanan memuaskan dicatatkan Selangor FC musim ini, baik di pentas Asia mahupun di peringkat domestik dengan ia menjadi nadi di sebalik prestasi cemerlang ditampilkan.
Meskipun tidaklah beraksi secara bertahan, skuad Gergasi Merah memiliki lambakan pemain yang bijak mematahkan serangan lawan meskipun beberapa kali kesilapan berlaku sepanjang musim.
Antara watak penting di sebalik rekod itu ialah bek tengah, Umarbek Eshmurodov yang tidak memerlukan masa lama untuk menyesuaikan diri selepas tiba di kelab itu pada jendela perpindahan pertama Liga Super.
BACA LAGI: Teruk dikritik, ini 3 sebab tak adil label Sharul Nazeem lubuk Selangor berdepan JDT
BACA LAGI: Dua episod berbeza Piala Asia pengaruhi persiapan Selangor FC
Umarbek memainkan peranan penting buat skuad Gergasi Merah musim ini. — Facebook/Selangor FC
Fizikalnya yang sasa dan pengalaman luas selepas beraksi sekitar Asia menjadikannya watak penting dalam memastikan gawang Selangor FC sukar ditembusi pihak lawan.
Kualitinya itu tidak hanya ditonjolkan di peringkat kelab kerana pemain berusia 31 tahun tersebut juga merupakan nadi barisan pertahanan buat Uzbekistan yang sedang memburu tiket ke Piala Dunia tahun depan.
Walaupun misi tersebut sukar untuk direalisasikan, tiada yang mustahil buat negara di kedudukan ke-58 dunia berdasarkan prestasi ditampilkan sepanjang kempen kelayakan kali ini.
Jadi, dengan peluang cerah dimiliki mereka, Umarbek mahu memastikan cita-cita penyokong dapat direalisasikan dengan hanya beberapa aksi berbaki untuk melangkah ke pertandingan itu.
Umarbek yakin misi tersebut dapat direalisasikan demi negaranya yang tercinta. — Agensi
"Penduduk seluruh Uzbekistan teruja dengannya, kami hanya perlu menyempurnakan tugasan ini dan memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan.
"Kita perlu bekerjasama dalam mewakili negara di peringkat tertinggi ini. Ia adalah tanggungjawab yang berat, bukan sahaja untuk kami, namun untuk Uzbekistan secara keseluruhan," katanya kepada FIFA.
Sepanjang empat tahun mewakili negaranya, Umarbek sudah merekodkan 32 penampilan dengan empat daripadanya direkodkan ketika negara Asia Tengah berkenaan mara ke suku akhir Piala Asia 2023.
Selepas mengharungi lima perlawanan, skuad kendalian Srecko Katanec itu menduduki tangga kedua Kumpulan A Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 setelah merekodkan 10 mata.
Lima perlawanan berbaki, termasuk aksi getir berdepan Iran dan Qatar akan menentukan nasib Uzbekistan yang tidak pernah layak ke kejohanan berprestij dalam arena bola sepak itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram