BOLA PEGUN kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
SUKA-DUKA dalam dua episod berbeza Piala Asia – satu di peringkat senior dan satu lagi bagi bawah 23 tahun – tercoret dalam buku nota Nidzam Jamil sambil dia membuat lakaran terhadap perancangan Selangor FC menghadapi musim baharu Liga Super musim 2024/25 bermula 10 Mei ini.
Seboleh-bolehnya ketua jurulatih skuad Gergasi Merah itu hanya mahu mengambil nota positif daripada kedua-dua kejohanan berkenaan, sebaliknya salah satu menuntutnya untuk mengubah keadaan daripada catatan negatif membabitkan pemain-pemain di bawah pengendaliannya.
Pertama, berita baik yang dialu-alukannya tanpa dia perlu melakukan apa-apa lagi, dengan membiarkan satu lagi khabar kurang memberangsangkan untuk ditanganinya dengan penuh cermat kemudian.
Persembahan meyakinkan daripada pemain tengah import dari Jordan, Noor Al Rawabdeh, dan pertahanan import baharu dari Uzbekistan, Umarbek Eshmurodov, dalam kempen Piala Asia 2023 di Qatar dari 12 Jan- 10 Feb lalu diharapkan jurulatih itu dapat menyuntik elemen positif dalam pasukan.
“Kita tahu Noor memainkan peranan besar di Qatar dan membantu kemaraan Jordan ke final (apabila mereka tewas 1-3 kepada pasukan tuan rumah hasil hatrik Akram Afif),” katanya.
BACA LAGI: 'Kiko Insa jemput saya sertai keluarga Harimau Selatan'
Umarbek antara tonggak pertahanan baharu Selangor FC musim ini. — Selangor FC
Malah, bersama bek tengah Selangor FC musim lalu, Yazan Al Arab, kedua-duanya beraksi cemerlang ketika membelasah Malaysia 4-0 dalam perlawanan pertama Kumpulan E pada 16 Jan apabila Mahmoud Al-Mardi dan Musa Al-Taamari masing-masing menyumbat dua gol.
“Sekembalinya untuk menyertai latihan Selangor FC (bermula 5 Februari), Noor terserlah sebagai pemain yang lebih bersemangat kesan daripada kejayaan di Qatar. Dia adalah satu karakter besar dalam pasukan. Kadar kerjanya sangat tinggi. Tentunya dia akan jadi dorongan besar buat kami,” katanya kepada Bola Pegun.
Nidzam turut berkongsi pengaruh serupa daripada Eshmurodov – antara lima pemain baharu ditandatangani barisan Merah Kuning itu bagi musim 2024/25 selain penyerang dari Chile, Ronnie Fernandez, pemain sayap dari Belanda, Alvin Fortes, pemain warisan dari Finland, Nooa Laine, dan penjaga gol berusia 22 tahun dari PDRM FC, Azim Al Amin Kamaruddin.
“Seperti Noor, Piala Asia juga menyuntik semangat baru buat Umarbek. Pasukannya mara hingga ke suku akhir (sebelum tersingkir kepada Qatar 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti setelah terikat 1-1 hingga akhir masa tambahan). Dia nampak amat bersemangat dalam latihan dan boleh menjadi faktor positif buat kami,” tambahnya.
Cuma, nota positifnya berakhir setakat itu kerana kempen Piala Asia B-23 juga di Qatar – di mana Selangor FC menampilkan lapan pemain mudanya dalam skuad kebangsaan – berkesudahan dengan catatan menghampakan.
Malaysia tewas dalam ketiga-tiga perlawanan Kumpulan D – 0-2 kepada Uzbekistan pada 17 Apr, 0-2 kepada Vietnam pada 20 Apr dan 1-2 kepada Kuwait pada 23 Apr – untuk barisan negara pulang tanpa sebarang kemenangan di samping merekodkan jaringan paling sedikit di peringkat kumpulan dengan hanya satu gol daripada pemain KL City FC, Haqimi Azim Rosli, dan dibolosi empat gol.
Ronnie akan menjadi pengganti Ayron del Valle yang merangkul penjaring terbanyak Liga Super musim lalu. — Selangor FC
Tonggak muda Selangor FC, Mukhairi Ajmal Mahadi, yang mengetuai skuad B-23 negara turut mengakui bermain teruk dan gara-garanya sedar yang orang tak suka dirinya.
"Saya bermain dengan teruk dalam setiap perlawanan (sama ada digantikan atau sekadar jadi pemain gantian). Saya tahu ramai orang tidak suka pada saya, saya harap perkara ini dapat menjadi pengajaran untuk memperbaiki diri saya pada masa akan datang,” katanya seperti dipetik stadiumastro selepas kekalahan kepada Kuwait.
Mukhairi dan tujuh rakan sepasukannya sudah menyertai semula latihan Selangor FC semalam menjelang saingan empat penjuru Piala Cabaran Asia 2024 yang turut membabitkan DPMM FC dari Brunei, Balestier Khalsa FC dari Singapura dan Young Elephants FC dari Laos yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya hari ini dan Ahad ini.
Nidzam mengakui semangat kelapan-lapan pemain mudanya itu sedikit runtuh – reaksi yang dianggapnya normal bagi pemain profesional apabila prestasi skuad B-23 negara tidak mencapai tahap diharapkan.
“Saya kena dukung dia (Mukhairi) dan pemain muda lain dalam pasukan. Dia jenis yang beri sehabis dayanya dalam perlawanan tapi bila keputusan diharapkan tidak dicapai, adalah biasa jika mereka sangat kecewa.
“Ia jadi tugas saya untuk naikkan kembali semangat mereka. Seperkara mengenai bola sepak ialah apabila anda gagal dalam satu kejohanan, akan ada kejohanan lain selepas itu untuk anda berusaha menebusnya.
“Piala Cabaran Asia ini meluangkan kesempatan kepada mereka untuk melakukan itu dan saya harap pemain-pemain memberikan yang terbaik untuk kami mendapatkan keputusan positif,” katanya lagi.
BACA LAGI: [VIDEO] Wakil Brunei dapat tonik harung SAC2024 sebelum jumpa Selangor lepas belasah kelab China
Nidzam juga enggan menoleh ke belakang lagi untuk meratapi kehilangan penyerang prolifik, Ayron del Valle – penjaring terbanyak Liga Super 2023 dengan 23 gol, mengatasi peledak utama JDT, Bergson da Silva – mahupun tonggak barisan tengah, Brendan Gan.
“Saya memang merasakan ketiadaan kedua-duanya dari segi karakter – Ayron seorang profesional sejati manakala Brendan dari segi kesungguhan berjuang dan daya kepimpinannya. Tapi ini masanya untuk pemain-pemain muda meningkatkan permainan selaku pengganti dan mengambil inspirasi daripada kedua-duanya,” katanya.
Di samping itu, jurulatih itu juga boleh menyandarkan harapan besar kepada Faisal Halim – penjaring gol terbaik hasil undian ramai dalam Piala Asia 2023 – bersama dua gandingan barunya, Fernandez dan Fortes.
“Masa akan menentukan sejauh mana keberkesanan pemain barisan depan ini pada musim baharu. Saya yakin kedua-duanya adalah pemain yang bagus dan sangat profesional.
“Cuma masa mencemburui kedua-dua pemain serangan baharu kami ini yang perlu menyesuaikan diri dengan rakan dan pasukan baharu secapat mungkin,” kata Nidzam yang baru mendapat Connor Hector dari Ireland sebagai pembantunya minggu lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram