KARIER sebagai seorang pemain bola sepak sememangnya cukup membebankan kerana masing-masing perlu menghadiri latihan seperti mana ditetapkan barisan kejurulatihan kelab.
Tidak cukup dengan itu, mereka juga perlu menampilkan aksi terbaik setiap kali diturunkan bagi mengelak kecaman di media sosial yang hanya akan memberi tekanan berlebihan.
Jadi, untuk melepaskan perasaan tersebut, sebahagian besar daripada mereka akan mencari hobi untuk mengisi masa lapang berdasarkan apa yang digemari.
BACA LAGI: Nijey jual ikan segar demi keluarga, bukan sekadar hobi selain bola sepak
BACA LAGI: Kembali perkuat Sang Penyu, Shahrul Nizam ada tugas berat 'gari' Ifedayo
Memancing merupakan aktiviti terbaik untuk menghabiskan masa.
Selain dapat memastikan waktu terluang tidak diisi kegiatan tidak berfaedah, ia dapat mengurangkan tekanan selepas berjam-jam dihabiskan di padang latihan.
Antara hobi yang kian mendapat tempat dalam hati pemain Liga Super hari ini ialah memancing dengan kunjungan ke pusat disediakan atau pergi ke lautan luas bersama kenalan dan rakan-rakan.
Aktiviti itu menjadi pilihan kerana ia tidak memerlukan tenaga berlebihan, sekali gus memberi peluang mereka buat berehat serta melupakan kepenatan dirasai.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga pemain yang boleh dilabel 'kaki joran' kerana menjadikan memancing sebagai hobi sekiranya terdapat waktu lapang.
1. Shahrul Nizam Ros Hasni
Kecintaan Shahrul Nizam Ros Hasni terhadap aktiviti itu bukanlah sesuatu hal baharu memandangkan kecenderungannya terhadap perkara tersebut berpunca daripada bapanya yang merupakan seorang nelayan.
Berbeza daripada pemain lain dalam senarai ini, bek tengah Terengganu FC itu lebih berminat untuk turun ke laut luas bersama kenalan serta adik-beradiknya dengan hasil tangkapan akan dijual di kedai miliknya.
Shahrul Nizam (kuning) di gerai ikan segar persendiriannya. — Facebook/Hishamuddin Abdul Karim
Hobinya tersebut juga pernah menerima perhatian peminat bola sepak tanah air kerana pada 2021, dia pernah terlepas panggilan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyertai skuad kebangsaan disebabkan hal berkenaan.
Berdasarkan laporan ketika itu, pemain yang turut dikenali sebagai Nijey itu tidak dapat dihubungi kerana sedang mencandat sotong sehingga menyebabkan badan induk bola sepak negara tersebut gagal menyampaikan berita berkenaan kepadanya.
Namun, kegagalan menyarung jersi Harimau Malaya tersebut tidak mematahkan semangat Shahrul Nizam yang masih aktif memancing meskipun sibuk sebagai pemain bola sepak.
2. Khuzaimi Piee
Sejak menyertai skuad Gergasi Merah musim lalu, Khuzaimi Piee bergelut untuk membawa impak buat pasukan kerana dia hanya diletakkan di bangku simpanan berbanding di dalam pasukan.
Bagaimanapun, pemain kelahiran Melaka tersebut masih menjadi figura popular dalam Selangor FC memandangkan bek tersebut berkongsi hobi memancing bersama beberapa rakan sepasukannya.
Namun, berbeza daripada pemain yang lain, Khuzaimi atau turut dikenali sebagai Jimmy kerap turun ke laut untuk meluangkan masa bersama rakan-rakan setiap kali tiada sesi latihan.
Dalam perkongsian sebelum ini, pemain Harimau Malaya terbabit menceritakan rekod tangkapannya ialah ikan jenahak seberat 5 kilogram dan ikan haruan tasik seberat 21 kilogram.
Catatan itu sudah tentu berjaya diperbaharui memandangkan Khuzaimi kerap meluangkan masa bersama pemain Selangor FC lain seperti Fazly Mazlan dan Sharul Nazeem Zulpakar di kolam memancing.
3. Rizal Ghazali
Selama kira-kira 10 tahun, Rizal Ghazali yang juga kerap dipanggil sebagai Jai memiliki reputasi sebagai antara pemain pertahanan sayap terbaik meskipun usianya kini sudah mencecah 31 tahun.
Namun, tahukah anda, selain mempunyai keunggulan di atas padang, tonggak Kedah Darul Aman (KDA) FC itu juga memiliki bakat setiap kali batang joran berada di tangannya.
Perkara itu sering dikongsikannya di media sosial dengan Rizal sering mengunjungi kolam memancing bersama rakan-rakan yang rata-rata bukan seorang pemain bola sepak profesional.
Rizal bersama hasil tangkapan yang dikongsikan media sosial.
Bekas pemain Harimau Malaya tersebut juga pernah berkongsi sekeping foto memaparkannya melakukan aktiviti tersebut di tengah laut bersama seorang lagi bintang skuad Sang Kenari, Syafiq Ahmad beberapa tahun lalu.
Hal tersebut tidak menjejaskan minatnya kerana dia sering mengukir senyuman lebar setiap kali meraih tangkapan berbaloi dengan ia sedikit sebanyak membantunya melupakan tekanan di atas padang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram