SETIAP kelab di Liga Super pastinya mempunyai pemain-pemain yang menjadi sandaran tidak kira mereka adalah bakat tempatan atau tenaga import.
Namun begitu, walaupun datang dengan hype yang baik atau berprestasi cemerlang, ada di antara mereka yang tiba-tiba saja boleh hilang dari radar dan menyepikan diri.
Baik mereka adalah sandaran mencari gol atau rekrut berkelas tinggi, nama-nama di bawah sepertinya sudah 'ghaib' dari kancah Liga Super.
BACA LAGI: Enggan dijulang wira, Sam Somerville idam rebut tempat Syihan
BACA LAGI: Fans keliru, Ivan Mamut yang cedera, bintang import lain pula dilepaskan Terengganu
Ivan Mamut
Penyerang bertubuh sasa itu sehingga kini tidak lagi turun untuk Terengganu FC dan semakin dilupakan oleh penyokong.
Merupakan rekrut Tomislav Steinbruckner pada 2023, Ivan Mamut pada mulanya bermula perlahan namun selepas itu mula mencuri hati penyokong Terengganu dengan gol-gol dihasilkan.
Mamut kini berehat panjang akibat kecederaan.
Khidmatnya ditagih bagi musim baharu untuk terus menggegar lawan. Namun ketika pramusim, Mamut mengalami kecederaan serius dan sehingga kini tiada khabar berita.
Terdapat cakap-cakap mengenai masanya di Terengganu sudah berakhir, tetapi jika benar, sudah pasti kelab sudah mengumumkan perkara tersebut.
Enzo Lombardo
Salah satu daripada rekrut baharu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim ini iaitu Enzo Lombardo juga dilihat hilang daripada radar.
Merupakan pemain sayap buat JDT dari Perancis, minit permainan Lombardo bagaimanapun terhad dengan dia cuma melakukan tiga penampilan dalam Liga Super selain belum beraksi di pertandingan Asia.
Minit permainan Lombardo bersama JDT terhad.
Namun begitu, harus diakui pemain tersebut perlu bersaing di posisi yang dihuni oleh Arif Aiman, Bergson da Silva serta Jorge Obregon, sekali gus mungkin menjadi antara faktor yang menyebabkan Lombardo kurang mendapat tempat.
Mungkin dia akan mula mendapat minit permainan apabila Piala Malaysia membuka tirai. Jika tidak, penyokong JDT akan ternanti-nanti aksi seterusnya.
Sam Somerville
Seorang lagi nama yang hilang daripada radar adalah penjaga gol Selangor FC iaitu Sam Somerville.
Merupakan watak penting Selangor di pintu gol sejak musim lepas, prestasinya merudum ketika Gergasi Merah menghampiri perlawanan akhir Piala FA berdepan JDT.
Somerville kini bukan lagi pilihan utama di gawang Selangor.
Kemuncak penurunan prestasinya adalah ketika perlawanan akhir itu apabila Somerville melepaskan empat gol dalam kekalahan 1-6 Selangor kepada JDT.
Sejak itu, Somerville dapat dilihat banyak beraksi untuk skuad Piala MFL Selangor dengan Azim Al-Amin diletakkan sebagai penjaga utama Gergasi Merah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram