Nooa Laine dedah faktor pilih Selangor, akui bangga sarung jersi Harimau Malaya


  • Podium
  • Jumaat, 15 Nov 2024

Nooa menyertai Selangor FC untuk mempersiapkan diri dengan lebih baik bagi menyertai pasukan Harimau Malaya di pentas antarabangsa. — Facebook/Selangorfc

PEMAIN tengah Harimau Malaya, Nooa Laine berazam untuk membalas kepercayaan Selangor FC selepas menyertai pasukan itu secara tetap.

Turun buat pertama kali menyarung jersi keramat merah kuning menentang Kedah Darul Aman FC dalam saingan Liga Super 2024/2025, aksi cemerlangnya menjadikan dia sebagai salah seorang pemain tonggak Selangor FC untuk musim ini.

Dikenali dengan kawalan bola yang baik dan corak permainan unik, kehadiran Nooa jelas memberi dinamik kepada bahagian tengah pasukan selain mencatatkan 23 penampilan serta menyumbang empat assist setakat ini.

BACA LAGI: Tak perlu beri muka, pemain lokal Kelantan wajar ambil contoh skuad TBG lapor isu pengurusan

BACA LAGI: Tak belajar daripada kesilapan, imbau semula 3 kes sama sebelum kontroversi rasis Tommy Mawat

WhatsApp Image 2024-11-15 at 15.35.06

Nooa Laine (tengah) antara pemain regular yang sering dipanggil beraksi untuk skuad Harimau Malaya. Facebook/FAM

Prestasinya juga menjadikannya antara pemain regular yang sering dipanggil oleh Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti, .

Ditanya mengenai keberadaannya di Selangor FC, Nooa mengungkapkan rasa syukur dan komited untuk terus memperbaiki corak permainannya.

"Saya sangat berterima kasih atas kepercayaan yang terus diberikan oleh Selangor FC. Saya akan terus berusaha meningkatkan prestasi saya dan memberi sumbangan kepada kejayaan pasukan.

"Sebagai pemain, saya akan terus berusaha keras untuk memperbaiki kemahiran diri dan mencapai matlamat peribadi serta pasukan.

"Saya gembira dapat bermain bersama rakan sepasukan yang sangat berbakat dan secara jujurnya, saya banyak belajar daripada mereka," katanya menerusi satu kenyataan daripada laman rasmi Selangor FC.

WhatsApp Image 2024-11-15 at 15.35.05

Dua tonggak Selangor FC, Nooa Laine (kiri) dan Harith Haiqal. Facebook/FAM

Bekas pemain remaja HJK Helsinki tersebut memainkan peranan penting dalam membantu Harimau Malaya menewaskan Laos 3-1 di Bangkok, Thailand pada Khamis.

Nooa percaya pengalaman bersama Harimau Malaya akan membantunya menjadi pemain yang lebih baik apabila kembali bersama Selangor FC.

"Sudah menjadi impian buat mana-mana pemain untuk mewakili pasukan kebangsaan masing-masing dan begitu juga dengan saya.

"Antara faktor utama saya menyertai Selangor FC adalah untuk saya terus meningkatkan kualiti saya sebagai pemain bagi mempersiapkan diri untuk pasukan kebangsaan.

"Kini, saya menggalas tugas bersama pasukan kebangsaan dan sudah pasti saya akan memberikan aksi terbaik serta mengumpul sebanyak mungkin pengalaman untuk saya bawa pulang perkara tersebut bersama kelab”, ujarnya.

Ketika ini, Nooa menjadi antara bintang muda Selangor yang terpilih mewakili skuad senior kebangsaan selain kelibat Harith Haiqal yang turut tampil cemerlang bersama kelab.

Untuk rekod, pemain berdarah kacukan Malaysia-Finland intu diumumkan sebagai pemain pinjaman dari SJK Seinäjoki pada 9 Februari 2024 lalu dengan pilihan pembelian secara tetap, kini sah menjadi milik Gergasi Merah bagi terus menguatkan barisan tengah skuad Selangor FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram