Cemerlang di Itali, Scott McTominay akui tak menyesal tinggalkan Man United


  • Podium
  • Sabtu, 16 Nov 2024

Scott McTominay kini gembira di Itali bersama Napoli.

NAMA Scott McTominay pastinya mekar dalam ingatan penyokong Manchester United yang pasti merinduinya.

Pemain tengah itu mungkin bukanlah yang terhebat di dunia, tetapi apabila di padang, pastinya dia akan memberikan 100 peratus untuk The Red Devils.

Namun itu semua cerita lama. Kini, McTominay sudah berpindah dengan menyertai kelab Itali iaitu Napoli.

BACA LAGI: Dulu bersama KL City, kini bekas pembantu jurulatih sertai Ruben Amorim di Man United

BACA LAGI: Cari pengganti Casemiro, baiki prestasi Onana antara 'task' drastik Ruben Amorim apabila sertai Man United

mctominay

McTominay (tengah) sudah menghasilkan tiga gol untuk Napoli.

Di Napoli, pemain antarabangsa Scotland itu dilihat cukup menyerlah dengan persembahannya berjaya membantu kelab itu menduduki tangga pertama Serie A selepas 12 perlawanan.

Mula diminati penyokong di sana, nyata ia membantu McTominay untuk cepat menyesuaikan diri di sana dan sedikit sebanyak tidak lagi merindui United.

Menurut laporan di England, McTominay secara terbuka mengakui tidak menyesal tinggalkan United demi Napoli walaupun dia sudah berada bersama kelab tersebut sejak berusia lima tahun.

Dijual kerana United terikat dengan Peraturan Keuntungan dan Kelestarian (PSR) Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali gus menamatkan 22 tahun tempoh dia bersama kelab.

"Jelas sekali, ia adalah keputusan besar (tinggalkan United), tidak boleh dinafikan. Ia adalah satu keputusan yang sangat besar buat saya, keluarga dan rakan-rakan. Ada masanya, dalam hidup kita akan berasa betul ke kita mahu lakukannya? Jika mahu teruskan dan jangan berpaling lagi.

"Saya tak pernah ada penyesalan dalam hidup atau karier saya dan saya mahu melakukannya sehingga hari ini. Saya mahu karier saya menjadi berjaya dan saya ingin keluar dan berusaha menjadi pemain bola sepak dan insan sebaik mungkin," kata McTominay.

McTominay ketika ini cukup bahagia di Itali dengan dia sudah melakukan 10 penampilan bersama Napoli serta menghasilkan tiga gol.

Dia mendedahkan kunci kegembiraannya di sana adalah menutup telinga dan menapis segala kritikan dari luar yang boleh merencatkan prestasinya.

"Saya tidak membaca surat khabar dan media sosial. Itu adalah perkara yang saya jauhkan diri. Tiada sebab untuk saya tumpukan perhatian kepada itu.

"Yang sudah berlalu biarkan berlalu, saya menikmati bola sepak saya dan mahu melakukan segalanya yang saya mampu untuk mengangkat pasukan ke tahap lebih tinggi di dalam carta dan lakukan yang terbaik untuk pengurus saya di Itali," ujar McTominay. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram