KONTROVERSI melibatkan pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL), David Coote masih belum berakhir selepas tindakannya memaki bekas pengurus Liverpool iaitu Jurgen Klopp.
Selepas videonya memaki Klopp tular, dia kemudiannya digantung oleh Pegawai-Pegawai Perlawanan Profesional Berhad (PGMOL). Akan tetapi, ia belum tamat.
Kini, muncul video baharu menyaksikan Coote mengambil bahan terlarang.
BACA LAGI: [VIDEO] Lepas digantung tugas, pengadil EPL dakwa video tular hina Klopp disunting
BACA LAGI: Komitmen punca Jurgen Klopp tolak tawaran Man United
Coote menghirup serbuk putih dipercayai kokain. — Agensi
Memetik laporan di England, sebuah video melibatkan Coote tersebar dengan dia dilihat sedang mengambil bahan terlarang iaitu kokain.
Video tersebut dikatakan dirakamkan sendiri olehnya semasa menjadi pengadil di Euro 2024. Perbuatan tersebut dipercayai berlaku sehari selepas aksi suku akhir antara Jerman dan Sepanyol yang mana Coote bertugas sebagai pegawai Video Bantuan Pengadil (VAR).
Dalam video tersebut, Coote dilihat sedang menghirup serbuk putih dipercayai kokain menggunakan not bank Amerika Syarikat di dalam sebuah hotel yang disediakan UEFA untuknya semasa Euro.
Dengan tersebarnya video tersebut, UEFA turut mengikut jejak langkah PGMOL dengan menggantungnya serta-merta daripada sebarang tugas pengadilan bola sepak di peringkat Eropah.
Mereka turut melancarkan siasatan terhadap Coote dengan penggantungan pengadil itu dibuat sehingga diumumkan kelak.
"Jawatankuasa Pengadil-Pengadil UEFA dengan serta merta menggantung David Coote sehingga diberitahu kelak bermula pada 12 November.
"Ia dibuat menjelang aksi perlawanan-perlawanan anjuran UEFA yang seterusnya disebabkan kelakukan tidak senonoh dilakukannya," ujar UEFA dalam satu kenyataan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram