BOLA sepak merupakan sukan yang dimainkan di serata dunia dengan pelbagai pihak berhijrah dari satu negara ke negara lain untuk menyertai pasukan baik sebagai pemain atau staf kejurulatihan.
Begitu juga dengan Malaysia. Di negara kita, berlakunya keluar masuk pemain dan staf kejurulatihan dalam kalangan warga luar dengan mereka datang dari pelbagai negara dan benua.
Situasi yang sama berlaku buat kelab Lembah Klang, Kuala Lumpur City FC yang menyaksikan mereka pernah mempunyai staf kejurulatihan dari luar negara mengendalikan skuad.
BACA LAGI: Kelab Penyokong Kuala Lumpur selesai AGM, harap Syed Yazid berjaya kembalikan kegemilangan City Boys
BACA LAGI: Anggap gol jumpa Kedah yang terbaik, Paulo Josue kekal komited bersama KL City
Jika skuad Warga Kota sering dikenali kerana mempunyai pengendali seperti Bojan Hodak dan Miroslav Kuljanac dari Croatia. Mereka juga pernah dikendalikan oleh pengendali dari Serbia iaitu Stanislav Lieskovsky dan Ricardo Formosinho dari Portugal.
Persamaan kedua-dua pengendali itu adalah ketika mereka berada di ibu negara, terdapat seorang individu yang setia menjadi pembantu pasukan iaitu Emanuel Ferro.
Ferro kini bersama Amorim di United.
Ferro merupakan pembantu kepada kedua-dua pengendali dengan dia bertugas dari Julai 2013 hingga Jun 2014. Sebagai rekod, dia cuma bertugas pada separuh perjalanan waktu kedua-dua pengendali tersebut.
Namun kini, segalanya sudah berubah, Ferro kini berada di puncak karier apabila dia menjadi pengendali kepada pengurus baharu Manchester United iaitu Ruben Amorim.
Dalam kemas kini di Transfermarkt, profil Ferro dilihat sudah berubah dengan dia kini sah menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan Amorim di United.
Sebelum ini, rekod menunjukkan Ferro sudah lama bersama Amorim di Sporting Club dengan dia menguruskan skuad bawah 23 kelab Portugal itu sebelum menjadi pembantu pengendali muda itu untuk 231 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram