Tak fikir panjang terima tawaran Penang, Wan Rohaimi sedar cabaran sukar menanti


  • Podium
  • Jumaat, 15 Nov 2024

Rohaimi (kanan) sedar cabaran getirnya sebagai pengendali Penang.

PENGENDALI baharu Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail mengakui cabaran yang bakal menantinya ketika bersama-sama kelab itu.

Dia yang menggantikan Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang direhatkan perlu mengembalikan prestasi Penang yang begitu merudum hinggakan kelab Utara itu menduduki kedudukan ketiga terbawah Liga Super.

Walaupun mengakui cabaran sukar menanti, tetapi Rohaimi mengakui dia sebenarnya tidak berfikir panjang sebaik saja ditawarkan posisi jurulatih oleh Penang.

BACA LAGI: Selagi skuad tak dirombak, kehadiran Wan Rohaimi belum cukup gembirakan fans Penang

BACA LAGI: Penang pilih coach Lembah Klang, tutup pintu buat Cheng Hoe

467019801_1128083838832269_625680700819185392_n

Rohaimi menggantikan Akmal sebagai pengendali Penang.

Kata Rohaimi, dia cukup mengenali kelab tersebut kerana Penang merupakan pasukannya sewaktu bermain dan pernah mengendalikan skuad Piala Presiden Harimau Kumbang.

"Betul, cabaran besar menanti saya selepas ini dan perlawanan pertama lawan Kuching City itulah akan menjadi titik permulaan untuk saya.

"Tetapi pasukan ini sebenarnya bukanlah asing untuk saya sebab pernah bermain pada tahun 2003 dan sebagai jurulatih Piala Presiden pada tahun 2020.

"Jadi bila saya dapat tawaran ini, saya memang tak fikir panjang dan positif dengan pengalaman yang saya ada dapat bawa perubahan kepada kelab ini," kata Rohaimi menerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Penang diundi untuk berdepan Kuching City FC dalam pusingan awal Piala Malaysia dan Rohaimi perlu melepasi cabaran kelab Sarawak itu bagi memenangi hati penyokong.

Sementara liga berehat untuk memberikan laluan bagi aksi bola sepak antarabangsa, Rohaimi mengambil kesempatan untuk menilai para pemainnya.

"Saya harus menggunakan masa yang ada ini untuk kenal terlebih dahulu dengan pemain-pemain yang ada ketika ini.

"Saya ada kenal juga sebahagian daripada pemain yang pernah bersama saya sebelum ini, tetapi sekarang tugas saya adalah untuk menambah baik kekurangan yang ada.

"Jadi, Khamis adalah hari pertama saya bersama pasukan dan berharap kami dapat lebih serasi untuk perbaiki segala aspek dengan lebih baik," ujar Rohaimi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram