PENANG FC dilaporkan sudah menemui pengganti kepada Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang direhatkan beberapa minggu lalu berikutan prestasi tidak menentu dalam Liga Super.
Skuad Harimau Kumbang kini menduduki tangga ke-11 Liga Super memerlukan pengendali yang mempunyai pengalaman luas dalam arena bola sepak tanah air selain tahu membimbing pasukan yang memerlukan sentuhan jurulatih berkualiti.
Jadi, untuk mendapatkan jurulatih dengan kriteria sedemikian, mereka difahamkan memilih pembantu jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC, Wan Rohaimi Wan Ismail dengan perkara itu masih tidak disahkan pihak pengurusan kelab.
BACA LAGI: Jangan ulangi kesilapan lama, 3 jurulatih import bawa 'malang' buat Selangor, Penang dan Terengganu
BACA LAGI: 'Ramai jurulatih import ambil lesen di Malaysia', Irfan Bakti nasihat Penang FC fokus kudrat lokal
Wan Rohaimi disebut-sebut sebagai pengendali baharu skuad Harimau Kumbang. — Facebook/MFL
Dia yang sedang memegang peranan pembantu kepada Miroslav Kuljanac sememangnya sesuai dengan pasukan tersebut kerana pernah menyarung jersi skuad Harimau Kumbang.
Tidak cukup dengan itu, dia juga pernah mengendalikan pasukan Bawah 21 Tahun (B-21) Penang FC yang pasti membolehkannya mengenali latar belakang kelab terbabit.
Pelantikan itu sekali gus menutup pintu kepada calon-calon lain seperti Tan Cheng Hoe dan Merzagua Abderrazak yang kedua-dua pengendali berkenaan sememangnya dimahukan penyokong.
Cheng Hoe sebelum ini disenarai pendek sebagai calon jurulatih baharu Penang FC.
Merzagua yang merupakan Pengarah Teknikal Penang FC kini memegang tampuk pengurusan skuad Harimau Kumbang dengan status interim sementara pihak atasan menjadi pengganti tepat.
Cheng Hoe pula sebelum ini disebut-sebut akan mengisi kekosongan itu kerana dia tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas direhatkan kelab Thailand, Police Tero FC.
Bagaimanapun, dia baru-baru ini kelihatan bersama staf dan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang sekali gus menceritakan bahawa pengendali kelahiran Kedah itu sudah mempunyai jalan baharu dalam kariernya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram