Selagi skuad tak dirombak, kehadiran Wan Rohaimi belum cukup gembirakan fans Penang


  • Podium
  • Khamis, 14 Nov 2024

Wan Rohaimi pernah menimba pengalaman bersama beberapa kelab sepanjang karier kejurulatihannya.

ROMBAKAN dilakukan Penang FC tahun lalu tidak membuahkan hasil diharapkan kerana mereka masih bergelut musim ini memandangkan pasukan itu kini berada di tangga ke-11 Liga Super selepas 14 perlawanan.

Ketumpulan jentera serangan, gaya permainan tidak meyakinkan serta import kurang memberangsangkan menyaksikan kelab tersebut terpaksa membuat perubahan sekali lagi.

Keputusan menepikan ketua jurulatih, Akmal Rizal Ahmad Rakhli membuktikan langkah itu sudah diatur dengan harapan terdapat sinar kebangkitan memasuki separuh kedua kempen liga.

BACA LAGI: Penang pilih coach Lembah Klang, tutup pintu buat Cheng Hoe

BACA LAGI: 'Ramai jurulatih import ambil lesen di Malaysia', Irfan Bakti nasihat Penang FC fokus kudrat lokal

466868299_1127287675578552_6322015516662231135_n

Wan Rohaimi diumumkan sebagai pengendali baharu skuad Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

Jadi, untuk menggantikan pengendali berusia 42 tahun itu, pihak pengurusan Penang FC mengambil keputusan membawa masuk bekas pemain mereka, Wan Rohaimi Wan Ismail.

Jurulatih yang sebelum ini merupakan pembantu kepada Miroslav Kuljanac di Kuala Lumpur (KL) City berkenaan dikatakan calon terbaik meskipun terdapat nama-nama lain dikaitkan, termasuk Merzagua Abderrazak dan Tan Cheng Hoe.

Meskipun Wan Rohaimi tidak memiliki pengalaman luas dalam bidang tersebut, penilaian dibuat terhadapnya berjaya menimbulkan keyakinan pihak atasan Penang FC untuk melantiknya.

Namun, kehadiran pengendali berusia 48 tahun itu masih gagal memuaskan hati peminat setia Harimau Kumbang yang beranggapan perubahan ketua jurulatih bukanlah kunci perubahan sebenar.

Bagi mereka, kualiti skuad ketika ini masih belum cukup memberangsangkan dengan rata-rata pemain belum mencapai standard ditetapkan, baik yang lokal mahupun yang import.

2991765

Akmal Rizal direhatkan berikutan rentetan keputusan tidak memuaskan. Facebook/Penang FC

"Penang diibaratkan seperti Manchester United, jurulatih tiada masalah kerana pemain yang selalu bermasalah. Tukarlah 100 jurulatih sekali pun, kalau pemain tidak bagus, tidak bagus juga," kata Muhammad Fayyadh Mukhlis.

"Tak harap setinggi mana, dengan pemain yang sedia ada, harapnya boleh beri saingan. Musim depan harapnya dapat rekrut pemain terbaik untuk pasukan kita," kata Arm Abdullah II.

"Kami nak tengok tahap kecergasan pemain meningkat, jangan beri muka kepada mereka. Tambah-tambah pula kepada penyerang import, harap boleh beri kesedaran buatnya," kata Muhammad Firdaus Bahardin.

Sebelum bergelar pembantu di KL City FC, Wan Rohaimi pernah menimba pengalaman bersama beberapa kelab lain, seperti PDRM FC dan skuad belia Penang FC.

Cabaran berat menanti jurulatih kelahiran Kelantan itu apabila pasukan baharunya itu akan berdepan Kuching City FC pada 21 November bagi aksi pertama Piala Malaysia sebelum perlawanan timbal balik sembilan hari kemudian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram