Enggan dijulang wira, Sam Somerville idam rebut tempat Syihan


  • Podium
  • Ahad, 03 Dis 2023

Somerville (kanan) beraksi cemerlang ketika membantu Selangor FC mengesah slot ke Piala AFC musim depan. — Facebook/MFL

SAM Somerville enggan dijulang sebagai wira Selangor FC, selepas penjaga gol itu tampil cemerlang menafikan beberapa peluang gol jentera serangan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Sabtu.

Sam yang dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan menganggap kejayaan mara ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2 pada musim depan adalah hasil kerjasama sepasukan.

Tonggak berusia 29 tahun itu turut mengakui kerja kerasnya dan rakan sepasukan sepanjang musim ini nyata berbaloi selepas mereka mengesahkan gelaran naib juara Liga Super 2023.

"Tiga mata yang menjadi pertaruhan cukup penting untuk dikutip bagi laluan ke peringkat Asia jadi anda boleh lihat betapa gembiranya kami dapat meraikan kejayaan ini.

"Ini bukan disebabkan ketangkasan saya semata-mata tapi ia adalah hasil daripada usaha sepasukan yang bekerja keras.

"Hanya jurang kecil boleh menjadi perbezaan kepada bola sepak ini dan kami memanfaatkan peluang yang terhidang.

"Kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang tetapi nasib memihak kepada kami.

"Ini merupakan pencapaian terbaik saya memandangkan pernah terlepas peluang seperti ini ketika bersama Penang FC," katanya.

WhatsApp Image 2023-12-03 at 19.34.47

Jaringan tunggal Ayron del Valle (kiri) membantu Selangor FC bergelar naib juara Liga Super 2023 sekali gus layak ke Piala ACL musim depan. — Facebook/MFL

Di samping itu, penjaga gol Selangor FC itu juga menyimpan hasrat untuk menerima panggilan skuad kebangsaan.

Sepanjang musim ini, Somerville telah dipertaruhkan sepanjang 1,270 minit permainan yang membabitkan 13 perlawanan Liga Super dan dua aksi Piala Malaysia.

Bagaimanapun, pemain warisan kelahiran England itu sudah tidak dipanggil untuk tugasan antarabangsa hampir dua tahun setengah yang lalu, iaitu ketika Harimau Malaya mengharungi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dengan memanaskan bangku simpanan.

Dalam perlawanan pembukaan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 dua minggu lalu, Ketua Jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon, sebaliknya memilih Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Azri Ghani sebagai pelapis kepada Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

"Jelas sekali cabaran musim ini sukar tetapi terima kasih kepada Khairulazhan Khalid dan jurulatih penjaga gol kerana banyak membantu.

"Setiap hari saya berusaha gigih dan kami saling bersaing sihat. Saya tidak mahu memberikan penilaian kepada mutu persembahan sendiri tetapi saya sentiasa bertekad mencurahkan aksi terbaik.

"Saya sentiasa berazam untuk mewakili Malaysia. Saya hanya perlu memberikan persembahan terbaik bersama Selangor dan apa yang terjadi kepada itu saya serahkan kepada jurulatih pasukan kebangsaan," katanya. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram