MUSIM 2023 boleh disimpulkan sebagai debut cemerlang buat penyerang import Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut selepas dia menyumbang rekod gol memberangsangkan iaitu sebanyak 21 jaringan buat skuad Sang Penyu.
Dengan dedikasinya mengepalai barisan hadapan Terengganu pada musim lepas itu, pihak pengurusan Sang Penyu terus memberinya kepercayaan dengan meneruskan kontrak Mamut sehingga Disember 2025.
Langit tidak selalu cerah buat Mamut apabila masalah kecederaan yang menimpanya pada sesi pramusim menyebabkan penyerang tinggi lampai itu masih bergelut untuk kembali beraksi di saingan domestik pada musim ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Tiga penyerang Croatia 'harga' sama dengan Ivan Mamut boleh dipancing TFC
BACA LAGI: 'Tahu Ivan Mamut cedera, tapi takkan TFC langsung tiada 'update' perkembangan semasa'
Kali terakhir penyokong diberitahu mengenai keadaan penyerang kesayangan itu adalah Mamut difahamkan mengalami kecederaan tendon achilles pada kaki kirinya ketika menjalani latihan pramusim yang menyaksikan dia perlu berehat panjang.
Pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner sebelumnya pernah menyatakan bahawa penyerang import berkenaan masih rasa sakit walaupun hanya cuba melakukan latihan ringan.
Rentetan masalah kecederaan berlarutan dialami pemain berusia 26 tahun berkenaan, Mamut dikatakan akan menjalani pembedahan di Finland bagi membantunya mendapatkan rawatan yang berkesan dan kembali beraksi bersama TFC.
Meskipun ia kedengaran seperti perkembangan positif dari kem Terengganu namun persoalan timbul dalam kalangan penyokong sama ada Mamut masih berbaloi untuk terus disimpan sehingga menunggunya pulih.
Mamut difahamkan mengalami kecederaan tendon achilles. — Instagram/IvanMamut
Masakan tidak, dengan Terengganu dijadualkan akan menyertai kejohanan seperti Piala Shopee bagi peringkat antarabangsa serta Piala FA dan Liga Super untuk saingan domestik, lebih baik wang berkenaan dilabur untuk mencari penyerang baharu.
Malah, Steinbruckner juga sudah memberi bayangan untuk melepaskan pemain itu pada jendela perpindahan kedua nanti dan khidmat Mamut pastinya perlu digantikan dengan penyerang baharu.
Selain Mamut, laman penyokong, One Football.My juga menyatakan bahawa skuad Sang Penyu mungkin akan melepaskan khidmat pemain pertahanan iaitu Matthew Steenvoorden yang hanya beraksi dua aksi Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram