KEJOHANAN Badminton Japan Masters menyaksikan lambakan barisan pemain negara tampil menyertai pertandingan itu dalam usaha mendapatkan rentak selain mahu memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia.
Antara yang mengambil peluang itu ialah beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah dan duo lelaki yang meningkat naik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Namun, kisah berbeza dialami kedua-dua mereka setakat pusingan pertama yang bermula pada Selasa dengan Pearly Tan-Thinaah mengalami kejutan setelah disingkirkan beregu tuan rumah, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto.
BACA LAGI: 'Hadiah terbaik Hari Malaysia', Wee Ka Siong ucap tahniah buat Pearly Tan-M Thinaah
BACA LAGI: 'Ini hadiah untuk Malaysia', Pearly Tan-Thinaah bangga cipta sejarah negara
Pearly Tan-Thinaah dikecewakan pasangan Jepun dalam pusingan pertama Japan Masters 2024.
Beregu wanita negara itu yang turun sebagai pilihan pertama mengalami saingan sengit di Kumamoto, Jepun apabila tewas 9-21 dalam set pertama sebelum bangkit 21-14 untuk mengheret perlawanan ke pusingan penentuan.
Tetapi, kelebihan jelas berpihak kepada Fukushima-Matsumoto yang meraih kemenangan 23-21, sekali gus menamatkan aksi berlangsung selama kira-kira sejam itu untuk menempah slot ke pusingan kedua.
Izzuddin-Sze Fei pula dapat melakar senyuman dalam aksi beregu lelaki apabila hanya memerlukan masa 32 minit untuk menyingkirkan Lin Bing Wei-Su Shing Heng dari Taiwan.
Kemenangan 21-12 dalam set pertama diikuti dengan keputusan 21-17 dengan ia sudah cukup untuk membantu beregu negara itu mara ke pusingan kedua dengan harapan dapat merangkul gelaran keempat tahun ini.
Pasangan itu yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada September lalu akan bertemu satu lagi gandingan profesional negara, Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong dalam perebutan tiket ke suku akhir, Khamis ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram