SAINGAN Unifi Piala Malaysia 2024/2025 menampilkan perlawanan sengit seawal pusingan 16 dengan keseluruhan 16 pasukan berentap pada edisi kali ini.
Sebanyak 13 pasukan Liga Super dan tiga pasukan teratas Liga A1 Semi Pro akan beraksi dalam perlawanan timbal balik bermula dari pusingan 16, suku akhir, separuh akhir, dan kemuncaknya adalah perlawanan akhir (satu perlawanan).
Berdasarkan undian yang dilakukan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Isnin, juara bertahan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan tentangan pasukan Liga A1, Kuala Lumpur Rovers.
BACA LAGI: Reunion Amri-Sabah, aksi sengit Pahang-Selangor jadi tumpuan undian Piala Malaysia
BACA LAGI: [VIDEO] 'Format dah tak menarik', belum mula tapi fans umum JDT juara Piala Malaysia 2024
Manakala, PDRM FC akan menentang Negeri Sembilan FC, Terengganu FC bakal berdepan cabaran Melaka FC, sementara Kuala Lumpur City FC diuji Kedah Darul Aman FC.
Perak FC pula menanti halangan Kelantan Darul Naim FC, sementara Kuching City perlu mengatasi cabaran Penang FC.
Manakala, Sabah FC akan bertemu kelab Liga A1 Semi Pro, Putrajaya Athletic FC dan juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor FC akan berdepan Sri Pahang FC.
Perlawanan antara Perak FC bertemu Kelantan Darul Naim FC yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak itu akan berlangsung pada pukul 4 petang.
Namun begitu, hasil undian yang telah dilakukan oleh bekas pemain kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah dan Azmin Azram Abdul Aziz itu mendapat reaksi negatif daripada peminat bola sepak.
Baru-baru ini, rata-rata daripada mereka meninggalkan komen di ruangan media sosial Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) merindui format dahulu.
Bukan itu sahaja, penyokong tanah air turut tidak berpuas hati dengan jadual Piala Malaysia yang kini tular di media sosial.
Hal ini kerana, menurut mereka pemilihan tarikh dan masa yang ditetapkan itu tidak bersesuaian dengan cuaca tempatan.
Jika melihat kepada jadual tersebut, perlawanan antara Perak FC bertemu Kelantan Darul Naim FC yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak itu akan berlangsung pada pukul 4 petang.
"Jadual Piala Malaysia dah keluar tapi kenapa main pukul 4 petang? Ingat cuaca dekat Malaysia macam Eropah ke?," kata Amy AmyGoodyear.
"Makin teruklah MFL ni, mereka fikir setiap stadium di negeri ini berbumbung ke?," kata Tiger Malaysia.
"Kalau macam itu, baik main pukul 2 petang, baru betul-betul Eropah," kata Hairi Zaini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram