SABAH FC mula mencongak strategi bagi memastikan kemaraan lebih jauh di pentas Unifi Piala Malaysia tanpa memandang rendah kemampuan lawan mereka iaitu Putrajaya (PT) Athletic FC.
Pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee enggan selesa dengan undian kali ini apabila bakal berentap dengan kelab daripada Liga A1 Semi Pro di pusingan 16 selain menyifatkan lawan boleh melakukan kejutan sekiranya mereka ambil mudah perlawanan nanti.
Sekadar berpuas hati sehingga pusingan suku akhir pada musim lalu, Kim Swee mahu anak buahnya fokus satu demi satu perlawanan bagi memastikan Sabah mampu mara lebih jauh pada musim ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Bekas orang kuat Jose Mourinho calon paling sesuai duduk kerusi no.1 Selangor FC
BACA LAGI: Jangan ulangi kesilapan lama, 3 jurulatih import bawa 'malang' buat Selangor, Penang dan Terengganu
“Undian di atas kertas nampak berpihak kepada Sabah, tetapi pada sama ini adalah peringkat kalah mati.
“Jadi, walaupun mereka dari kelab A1 Semi Pro, tetapi kelab itu ada ramai pemain-pemain berpengalaman dan kita akan mudah dihukum kalau kita ambil mudah perlawanan ini.
“Selagi kita masih belum melepasi pusingan 16 ini, saya tidak mahu fikir sehingga ke final lagi tetapi mahu fokus satu perlawanan ke satu perlawanan dahulu," katanya memetik laporan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Sementara itu, ketua jurulatih Kuala Lumpur Rovers FC, Wan Mustafa Wan Ismail pula merasakan aksi berdepan kelab seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai satu pengalaman yang cukup berharga dapat diraih oleh barisan pemainnya.
KL Rovers akan menentang JDT pada aksi pertama Piala Malaysia mereka musim ini. — Facebook/KLRovers
Namun, ia tidak bermakna pasukan Lembah Klang berkenaan akan mengangkat bendera putih lebih awal kerana tetap ingin memberikan tentangan yang sengit kepada juara bertahan itu.
"Saya kira untuk aksi Piala Malaysia antara KL Rovers dan JDT adalah umpama ‘David vs Goliath’. Itu yang saya boleh rumuskan. Namun saya tetap optimis dengan pasukan, kita akan cuba beri tentangan terhadap pasukan JDT.
"Satu peluang yang baik buat semua pemain. Musim lalu kita bertemu Terengganu dan musim ini kita bertemu pasukan paling kuat dalam Liga Super. Ini akan memberi satu pendedahan dan pengalaman berharga untuk kita.
"Kita akui memang berbeza kualiti permainan di Liga Super dan Liga A1 Semi-Pro. Namun, pasti ada taktikal yang boleh kita gunakan untuk sesuaikan dengan formasi dan kecergasan pasukan JDT," tambah Wan Mustafa.
Pengendali interim Sang Penyu, Badrul Afzan Razali. — Facebook/TFC
Perlawanan lain yang turut akan menjadi tumpuan adalah pertembungan antara Melaka FC dan Terengganu FC (TFC) di pusingan 16.
Pengendali interim Terengganu, Badrul Afzan Razali menyifatkan satu tugas yang getir untuknya juga yang kali pertama menggalas tanggungjawab selaku ketua jurulatih menggapai misi terbaik pasukan dalam pentas Unifi Piala Malaysia ini.
“Betul, memang tugas berat juga untuk saya dan secara peribadi sudah tentu saya mahu TFC dapat melangkah lebih jauh dalam kejohanan ini.
“Menentang Melaka FC bukan sesuatu yang mudah sebab mereka juga cemerlang di tangga teratas dalam Liga A1 Semi Pro selain mereka ada pemain-pemain berpengalaman yang pernah main di Liga Super dan Piala Malaysia.
“Apa pun, saya mengingatkan supaya pemain tak pandang rendah keupayaan Melaka dan kita akan buat yang terbaik”, jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram