[VIDEO] Lepas digantung tugas, pengadil EPL dakwa video tular hina Klopp disunting


  • Podium
  • Selasa, 12 Nov 2024

Bekas pengurus Liverpool, Klopp (kiri) ketika bertemu pengadil David Coote pada aksi EPL sebelum ini. — Reuters

AKIBAT menghina bekas pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu David Coote digantung perlawanan oleh Professional Game Match Officials Limited (PGMOL).

Badan pengadil berkenaan dalam satu kenyataan mengesahkan Coote telah digantung berkuat kuasa serta-merta sementara menunggu siasatan penuh susulan video tular yang menyaksikan dia menggunakan kata-kata kasar menggambarkan Liverpool dan Klopp.

Tidak pasti tarikh sebenar video berkenaan dirakam namun ia menyaksikan pengadil berusia 42 tahun tersebut melabel pengurus kelahiran Jerman itu sebagai seorang yang sombong.

BACA LAGI: Salah mungkin pergi, Liverpool sasar bintang Brentford sebagai pengganti

BACA LAGI: Xabi Alonso tolak tepi sejarah peribadi, fokus lawan Liverpool di Anfield

Difahamkan, video tersebut merujuk kepada perlawanan yang diadili Coote ketika Liverpool seri 1-1 menentang Burnley apabila Klopp mengkritiknya selepas aksi itu, menyatakan pengadil terlalu berlembut dalam melayan terjahan pemain Burnley.

Video berkenaan tular di media sosial selepas Coote mengadili aksi Liverpool menentang Aston Villa bagi aksi EPL, yang menyaksikan The Reds merakam kemenangan 2-0 pada Ahad lepas.

Usai PGMOL memberi kenyataan berhubung video berkenaan, The Mirror melaporkan bahawa Coote menafikan sekeras-kerasnya tindakan itu dan mendakwa ia telah disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Disebutkan bahawa terdapat kemungkinan klip itu palsu atau dibuat menggunakan kecerdasan buatan (ai). Bagaimanapun, perkembangan terbaharu memaklumkan ia adalah video yang tulen.

Namun difahamkan, pegawai perlawanan itu menegaskan bahawa tidak mengingati kandungan perbualan berkenaan.

Sehingga kini, Coote masih belum mengeluarkan kenyataan bagi menjawab dakwaan terhadapnya. Liverpool dan Jurgen Klopp juga masih belum memberi sebarang komen berhubung isu tersebut.

Untuk rekod, Coote yang dilahirkan di Nottingham adalah salah seorang pegawai Liga Perdana yang paling berpengalaman dan telah mengadili perlawanan di liga utama bola sepak Inggeris sejak 2018. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram