NAMA S. Kumaahran mungkin bukanlah pilihan utama Datuk Ong Kim Swee dalam skuad Sabah FC kerana pengendali itu lebih mengutamakan bintang seperti Saddil Ramdani.
Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, dia sering mendapat peluang beraksi dan Kumaahran bercadang untuk terus kekal dalam kesebelasan utama kelab Borneo tersebut.
Mula mendapat kepercayaan Kim Swee sewaktu kemenangan 4-2 menentang Perak FC di Manjung, Kumaahran mahu terus berusaha supaya selepas ini dia dianggap sebagai sandaran utama Sabah pula.
BACA LAGI: Sabah, TFC khuatir lawan pemain pengalaman, Wan Mustafa anggap jumpa JDT umpama David vs Goliath
BACA LAGI: Kekal hingga hujung musim, Kim Swee mahu balas kepercayaan Sabah FC
Kumaahran kini semakin menguatkan posisinya dalam kesebelasan utama Sabah.
"Sebelum berdepan Perak, jurulatih ada beritahu saya yang saya akan turun menentang pasukan itu dan saya ambil peluang yang diberikan.
"Saya agak gementar pada mulanya namun selepas melakukan beberapa sentuhan, saya mampu memberikan yang terbaik. Selepas itu, jurulatih nampak komitmen saya dan mengatakan saya sudah memberikan 100 peratus. Selepas itu, saya sering berada dalam kesebelasan utama.
"Saya menjaringkan gol ketika bertemu Kedah Darul Aman FC dan mempunyai beberapa corak permainan kombinasi yang baik dengan penyerang lain. Keyakinan saya meningkat dan tidak lagi menoleh ke belakang," ujarnya.
Sebagai rekod, Kumaahran kini sudah melakukan lima penampilan sebagai kesebelasan utama di Sabah dan dia bercadang untuk terus 'lekat' di posisi tersebut.
Dengan liga sedang berehat untuk aksi bola sepak antarabangsa, Kumaahran memilih untuk sibukkan diri dengan melakukan latihan bagi meningkatkan prestasinya.
"Selepas perlawanan bertemu Kelantan Darul Naim FC pada 3 November, kami diberi satu hari rehat dan selepas itu latihan diteruskan.
"Motto saya mudah, lakukan kerja keras ketika latihan dan ganjaran akan tiba. Sekarang saya harap dapat hasilkan gol dan bantuan gol," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram