Kekal hingga hujung musim, Kim Swee mahu balas kepercayaan Sabah FC


  • Podium
  • Khamis, 07 Nov 2024

Kim Swee merupakan figura yang cukup penting di sebalik peningkatan positif skuad Sang Badak kebelakangan ini. — Facebook/Sabah FC

MASA depan Datuk Ong Kim Swee bersama pasukannya, Sabah FC akhirnya diketahui selepas kelab berkenaan mengambil keputusan menawarkan kontrak jangka masa pendek buatnya yang akan berakhir pada hujung musim 2024/25.

Tawaran itu dibuat selepas satu pertemuan khas dibuat antara Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dan kelab itu dengan kesemua pihak sebulat suara bersetuju untuk mengikatnya sehingga 30 April depan.

Presiden SAFA, Datuk Shahelmy Yahya berkata, keputusan itu dibuat melihat kepada persembahan cemerlang ditampilkan skuad Sang Badak ketika ini.

BACA LAGI: Selangor, Terengganu boleh berebut khidmat Kim Swee jika dilepaskan Sabah

BACA LAGI: Bola sepak Sabah kembali 'bernafas', kontrak Kim Swee akhirnya disambung

"Kami yakin dengan kebolehan Kim Swee untuk menambah baik kedudukan pasukan ini dalam carta Liga Super, sekali gus membuatkan mereka lebih bermotivasi menjelang kempen Piala Malaysia musim ini," katanya.

Sebelum ini, kontrak bekas pengendali Harimau Malaya itu sepatutnya berakhir pada 30 November depan, namun dilanjutkan selepas khidmatnya berjaya membawa skuad Sang Badak ke tahap lebih tinggi.

Dia yang menyertai pasukan Borneo tanah air berkenaan pada 2021 membawa impak positif buat kelab berkenaan, termasuk membantu menamatkan penantian mereka ke pentas Asia musim lalu.

Di luar padang pula, Kim Swee juga merupakan figura cukup popular dalam kalangan penyokong yang yakin dengan sentuhannya mampu meletakkan Sabah FC ke tahap lebih tinggi.

2100371

Kim Swee membawa perubahan ketara buat skuad Sang Badak sejak tiga musim lalu. Facebook/Sabah FC

Mengulas akan kontrak baharu itu, jurulatih berusia 53 tahun tersebut berkata, dia cukup teruja akan kepercayaan diberikan kepadanya selain mahu meneruskan perjuangannya bersama mereka.

"Saya mahu berterima kasih atas keyakinan pihak pengurusan terhadap saya. Saya teruja dengan apa sahaja perancangan yang diletakkan dan saya mahu memberi tumpuan penuh terhadap musim ini.

"Pada saya, tawaran lanjut kontrak ini membuktikan kepercayaan pihak pengurusan terhadap sumbangan saya buat Sabah FC. Kini, saya ada tugas yang perlu dilaksanakan," katanya.

Selepas mengharungi 14 perlawanan, skuad Sang Badak kini berada di kedudukan ketiga Liga Super dengan hanya tiga mata membezakan mereka berbanding Selangor FC yang memiliki slot kedua ke pentas Asia musim depan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram