KEKASARAN dilakukan ke atas pengadil usai aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2022 sekali gus menamatkan karier bek tengah kebangsaan Jordan, Yazan Al-Arab dalam Liga Super.
Dia yang ketika itu merupakan tonggak pertahanan Selangor FC menerima hukuman berat daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tidak teragak-agak untuk memberikan penggantungan seumur hidup terhadapnya.
Bagaimanapun, nasib dialami pemain bertubuh sasa itu tidak mematahkan semangatnya apabila dia terus menyertai kelab Iraq, Al-Shorta sebelum berhijrah ke Qatar untuk beraksi buat Muaither.
BACA LAGI: Sudah muncul juara Liga Korea, Pan-gon kini fokus berdepan JDT di ACL Elite
BACA LAGI: 'Patut Bergson mula', aksi longlai Obregon buat fans muak, mahu 'dibeku' aksi ACL akan datang
Yazan membawa perubahan besar terhadap barisan pertahanan FC Seoul. — Agensi
Keputusan terbabit jelas membuahkan hasil buatnya kerana sejak itu, kariernya kian meningkat, lebih-lebih lagi selepas mewakili negaranya dalam Piala Asia awal tahun lalu.
Sumbangannya dalam membantu Jordan ke pentas akhir menyaksikan Yazan menerima tawaran dari kelab Korea Selatan, FC Seoul yang mahu memperkukuhkan barisan pertahanan mereka.
Perpindahan tersebut sekali lagi membawa perubahan terhadap kariernya kerana pada Ogos lalu, pemain berusia 28 tahun tersebut dipilih pemain bulanan di Liga Korea Selatan.
Anugerah diterima itu sememangnya menaikkan lagi semangatnya menjelang penghujung musim kerana kelabnya itu sedang dalam usaha merebut slot ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite 2025/26.
"Pada saya, segalanya adalah cabaran di sini kerana sebelum tiba lagi, saya sudah berjanji bahawa saya akan memberikan apa-apa yang terbaik. Saya mahu meraih kejayaan bersama kelab ini.
FC Seoul berada di kedudukan keempat Liga Korea Selatan. — Agensi
"Kami sudah merekodkan keputusan cukup baik pada separuh kedua musim, jadi kami perlu fokus untuk merebut tiket ke ACL Elite. Liga Korea Selatan adalah yang terbaik dan ia membuatkan saya terbuka untuk menyertai pasukan di sini," katanya.
Selepas 37 aksi liga, FC Seoul berada di kedudukan keempat yang sudah mencukupi bagi mereka layak ke pertandingan itu musim depan, namun perlu menempuhi pusingan kelayakan.
Peluang itu sememangnya terbuka buat pasukan kendalian Kim Gi-dong itu yang akan berdepan Gimcheon Sangmu dengan keputusan seri sudah cukup untuk memastikan tiket ke ACL Elite.
Jika berjaya membantu mereka ke kejohanan berprestij itu, Yazan akan berpeluang bertemu barisan kelab terbaik sekitar Asia, termasuk Johor Darul Ta'zim (JDT).
Sepanjang kariernya, pemain pertahanan berkenaan sudah beraksi sebanyak lima kali berdepan skuad Harimau Selatan, namun tidak pernah meraih sebarang kemenangan.
Rekod corot itu sudah tentu diharapkan dapat diatasi sekiranya FC Seoul diundi bertemu juara bertahan Liga Super itu musim depan, baik dalam aksi di laman sendiri mahupun di tempat lawan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram