TMJ syukur JDT III julang Piala Presiden, tapi fans kurang puas lihat prestasi pelapis negara


  • Podium
  • Rabu, 13 Nov 2024

Momen pemain JDT III meraikan kemenangan Piala Presiden di Stadium MBPG pada Rabu. — Facebook/FAM

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) bukan hanya unggul di peringkat senior, malah barisan ‘ubi muda’ Harimau Selatan berhasil mencapai hatrik kejuaraan Piala Presiden berturut-turut setelah menewaskan juara lima kali, Selangor dalam perlawanan akhir kedua pada Rabu.

Walaupun kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dekat Pasir Gudang, Johor itu namun hasil kemenangan 2 -1 pada aksi final 1, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya pada 6 November lalu melayakkan JDT III mendapatkan kejuaraan.

Pada aksi final pertama minggu lalu, skuad muda Harimau Selatan membawa bekalan tipis dari laman Selangor hasil jaringan Danish Syamer dan Abdul Raziq sementara gol tunggal Selangor disumbangkan Harry Danish.

BACA LAGI: 'Saya bangga ada darah Dayak', Tommy Mawat bersuara lepas fans tinggalkan komen 'bakar line'

BACA LAGI: Bukan setakat kad kuning, nasib Arif Aiman-Tommy Mawat kini di tangan Jawatankuasa Pengadil FAM selepas TMJ bersuara

Meskipun kedua-dua pasukan bermula garang sebaik wisel permulaan dalam usaha membuka jaringan namun tiada sebarang percubaan berhasil diterjemahkan dalam bentuk gol.

Dari babak pertama sehingga wisel penamat dibunyikan, pertahanan masing-masing pasukan berjaya mengekang deretan peluang jentera serangan dalam misi mendapatkan jaringan di Pasir Gudang.

Kejayaan JDT III yang melakar hatrik kejuaraan Piala Presiden itu jelas menggembirakan seluruh penyokong Harimau Selatan dan mendapat perhatian dari pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Satu lagi,” kata Tunku Ismail di ruangan komen Instagram sambil meletakkan emoji bersyukur.

Bagaimanapun, ada juga sebahagian penyokong kurang gemar dan kecewa dengan kualiti yang dipamerkan oleh barisan pemain muda negara baik prospek Harimau Selatan mahupun Selangor FC.

“Permainan JDT III malam ini agak mengecewakan dibandingan dengan aksi pertama. Banyak yang perlu diperbaiki untuk lebih maju jaya pada masa depan,” kata penyokong domestik, Wan Zam.

“Dua-dua pasukan tiada penyudah. Serangan banyak dah buat tapi kelajuan tidak cukup kalau tiada kawalan yang kemas. Apa-apa pun tahniah adik-adik,” komen penyokong bola sepak tanah air, Mohamad Nadhir Tahir.

Dalam pada itu, kemenangan tersebut akhirnya memastikan kejuaraan Piala Presiden keempat buat Harimau Selatan secara keseluruhan selepas turut memenanginya pada tahun 2009, 2022 dan 2023 yang lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram