KEPUTUSAN Kim Pan-gon untuk meninggalkan jawatannya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada Julai lalu membuahkan hasil apabila dia mula meraih perhatian media Korea Selatan.
Ini kerana pengendali berusia 55 tahun itu berjaya membantu pasukannya, Ulsan HD menjuarai Liga Korea Selatan susulan kemenangan ke atas Gangwon FC pada Jumaat lalu.
Tiga mata diraih di laman sendiri tersebut menyaksikan kelab itu mencipta jurang mata besar berbanding pencabar lain dengan dua perlawanan masih berbaki.
BACA LAGI: Lepas julang K-League, Kim Pan-gon terdesak nak tamatkan rekod buruk Ulsan jumpa JDT
BACA LAGI: KPG kongsi foto-foto terakhir di Malaysia, Hannah Yeoh antara sukar ucap selamat tinggal
Pan-gon (tengah) membantu Ulsan HD menjuarai Liga Korea Selatan dengan dua aksi masih berbaki.
Namun, Pan-gon seperti tidak mahu terus tenggelam dalam kegembiraan apabila mahu memberikan tumpuan sepenuhnya menjelang aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite selepas ini.
Mereka yang dijadualkan bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Selasa sememangnya memahami tugasan getir menanti melihat kepada prestasi pasukan tanah air itu dalam kejohanan berkenaan musim ini.
Satu kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan dialami menyaksikan skuad Harimau Selatan kini berada di tangga kelima dengan peluang masih cerah bagi mereka memperbaiki kedudukan itu.
Situasi sebaliknya dialami Ulsan HD dalam carta terkini apabila mereka masih belum meraih sebarang mata berikutan tiga kekalahan berturut-turut kepada Kawasaki Frontale, Yokohama F Marinos dan Vissel Kobe.
Jadi, dengan mereka sudah boleh bertenang daripada saingan domestik, tumpuan sepenuhnya boleh diberikan kepada juara bertahan Liga Super itu dalam aksi yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pukul 8 malam Selasa.
Ulsan bergelut setiap kali berdepan JDT di Stadium Sultan Ibrahim.
"Saya ingin berterima kasih kepada pemain dan staf pasukan kerana membantu kami menjuarai Liga Korea Selatan dengan lebih awal. Saya sudah dapat melepaskan bebanan itu.
"Kini, kita perlu meraih keputusan lebih baik dalam kempen ACL Elite yang juga merupakan sebuah lagi sasaran utama bagi kami. Kita sudah melakukan analisis mendalam terhadap JDT dan kami akan memastikan kemenangan buat penyokong," katanya.
Dalam empat pertembungan sebelum ini, Ulsan HD jelas bergelut untuk berdepan pasukan Liga Super itu, lebih-lebih lagi ketika perlawanan di tempat lawan.
Malah, dalam pertemuan musim lalu, JDT meraih kemenangan 2-1 ketika aksi di Stadium Sultan Ibrahim hasil jaringan Heberty Fernandes dan Akhyar Rashid dalam peringkat kumpulan.
Jadi, rekod itu sudah tentu mahu diperbaiki Pan-gon yang pasti mengetahui kelebihan dimiliki skuad Harimau Selatan selepas menghabiskan tiga tahun daripada tempoh kejurulatihannya di Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram