Aguero bukan lagi penyerang Harimau Malaya, mahu jadi contoh bintang muda


  • Podium
  • Rabu, 13 Nov 2024

Kali terakhir Aguero dipanggil menyertai kem latihan pusat ialah ketika menentang Chinese Taipei bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Jun lalu. — Facebook/FAM

SELEPAS tiga bulan tidak mendapat panggilan ke kem Harimau Malaya, pemain naturalisasi negara iaitu Sergio Aguero akhirnya menjadi pilihan barisan kejurulatihan yang diketuai Pau Marti Vicente.

Aguero yang sebelum ini sinonim beraksi sebagai pemain sayap kini bersedia untuk beraksi dalam peranan baharu untuk Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang akan datang.

Bukan hanya mendapat tugasan baharu untuk mengawal bahagian tengah Harimau Malaya, malah pemain Sri Pahang FC itu turut berharap menjadi watak yang akan membimbing pemain muda di kem kebangsaan.

BACA LAGI: Harith Haiqal jadikan kritikan sumber motivasi demi Harimau Malaya

BACA LAGI: 'On fire' di JDT, kepulangan Natxo Insa ke Harimau Malaya buat ramai tak senang duduk

"Saya berharap dapat membimbing pemain muda dalam pasukan dengan pengalaman yang ada pada saya.

"Kami perlu bermain dengan sangat baik dalam perlawanan ini dan mengumpul kemenangan. Kami mahu meningkatkan mata kami dalam ranking," katanya yang berharap untuk membantu Malaysia meningkatkan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mereka.

Bercakap mengenai posisinya sebagai pemain tengah pula, pemain berusia 30 tahun berkenaan sudah berlatih di bahagian tersebut sepanjang dua hari latihan mereka di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, Selangor.

Aguero yang menjadi pemain naturalisasi Malaysia pada 2022 itu berkata, mahu menunjukkan kebolehannya dalam dua perlawanan persahabatan menentang Laos di Bangkok esok dan India di Hyderabad pada 18 November.

“Saya sentiasa boleh bermain di beberapa posisi. Saya boleh bermain sebagai penyerang, penyerang kedua atau pemain tengah menyerang. Jurulatih Pau (Marti Vicente) telah menggunakan saya di bahagian tengah semasa sesi latihan.

“Saya bersedia untuk mengambil bahagian tengah dalam perlawanan persahabatan dan menunjukkan apa yang boleh saya lakukan," kata pemain yang sudah mempunyai 10 kaps bersama Malaysia dan dua gol. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram