SAINGAN Unifi Piala Malaysia 2024-2025 menampilkan perlawanan sengit seawal pusingan 16 dengan keseluruhan 16 pasukan berentap pada edisi kali ini.
Sebanyak 13 pasukan Liga Super dan tiga pasukan teratas Liga A1 Semi Pro akan beraksi dalam perlawanan timbal balik bermula dari pusingan 16, suku akhir, separuh akhir, dan kemuncaknya adalah perlawanan akhir (satu perlawanan).
Selepas selesai majlis undian Unifi Piala Malaysia 2024-2025 yang berlangsung pada Isnin (11 November), setiap pasukan boleh mula menyusun strategi bagi memastikan peluang mereka mara lebih jauh dalam kejohanan yang kini memasuki edisi ke-98 itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Baru 32 tahun, bekas import Selangor calon jurulatih baharu?
Juara empat kali Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT), yang kini memimpin liga, akan memulakan Piala Malaysia menentang kelab Liga A1 Semi Pro, KL Rovers FC, sebelum bermain di laman sendiri untuk perlawanan timbal balik.
Selain itu, perlawanan yang dijangka mencuri tumpuan adalah pertembungan dua pasukan bersejarah dalam kejohanan tertua Asia Tenggara ini, iaitu Selangor FC, yang telah menjuarai Piala Malaysia sebanyak 33 kali, akan bertemu Sri Pahang FC, yang kali terakhir memenangi kejohanan ini pada musim 2014.
Sementara itu, Kuching City FC yang menunjukkan prestasi cemerlang musim ini akan bertemu Penang FC yang kini berada di tangga ketiga tercorot Liga Super, manakala PDRM FC bakal berdepan dengan Negeri Sembilan FC.
Dalam undian lain, naib juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC, akan berdepan pendahulu Liga A1 Semi Pro, Melaka FC, manakala juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC, akan bertandang ke Stadium Darul Aman, Alor Setar, untuk menentang skuad kendalian Nafuzi Zain.
Saingan kali ini dilengkapkan dengan perlawanan antara kelab Liga A1 Semi Pro, Putrajaya Athletic FC, yang bakal menghadapi cabaran besar apabila beradu kekuatan dengan Sabah FC seawal pusingan 16 ini.
Namun begitu, hasil undian yang telah dilakukan oleh bekas pemain kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah dan Azmin Azram Abdul Aziz itu mendapat reaksi negatif daripada peminat bola sepak.
Ini kerana rata-rata daripada mereka meninggalkan komen di ruangan media sosial Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) merindui format dahulu.
"Dah tak menarik nak tengok (Piala Malaysia), format dah macam Piala FA, dulu Piala Malaysia lepas habis liga baru mula.
"Buat format kumpulan, 16 pasukan empat kumpulan main timbal balik. Dua teratas layak ke suku akhir," kata Nazri Kocheng.
"Format macam Piala FA ini tak seronok, seronok format dulu lagi perlawanan pun jadi banyak," jelas Acek Putra.
"Maaf MFL, cabaran Piala Malaysia sekarang dah tak semeriah dulu. Buat format macam dulu, peringkat kumpulan ada enam perlawanan," ujar Muhd Fathi.
Selain itu, peminat bola sepak juga seperti sudah mengetahui Piala Malaysia 2024 akan dimenangi oleh JDT selepas diundi bersama lawan dari kelab Liga A1 Semi Pro.
"Bagi sahaja juara itu dekat JDT, pasukan lain bukan boleh menang pun. Muktamad, pasukan lain sangat lemah," ulas Mohd Nasihah.
"Rasanya lebih baik pasukan dari selatan tanah air (JDT) diletakkan terus ke final, cuma nak cari siapa bakal lawannya di final. Sang juara dah tahu," luah Fazley Fazley.
"Tahniah juara Piala Malaysia 2024, pasukan JDT," komen Mohd Eizlan.
Pertandingan Unifi Piala Malaysia 2024-2025 akan bermula pada 20 November dan aksi final bakal berlangsung pada April 2025. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram