TIGA pasukan Liga Super iaitu Selangor FC, Terengganu FC dan Penang FC kini masih tidak mempunyai ketua jurulatih selepas mereka memutuskan untuk tidak bersama bekas pengendali masing-masing.
Selangor yang kehilangan Nidzam Jamil selepas cemerlang membawa Gergasi Merah ke pentas akhir Piala FA dan memacu pasukan itu menjadi pendahulu Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) antara berita paling mengejutkan buat peminat bola sepak tempatan.
Manakala Terengganu FC dan Penang FC pula seperti sudah dijangka apabila pihak pengurusan memecat ketua jurulatih mereka selepas prestasi yang tidak menentu dalam beberapa perlawanan akhir ini.
BACA LAGI: Padang stadium, Mukhairi Ajmal jadi topik utama fans Selangor FC bertemu Jeonbuk Hyundai
BACA LAGI: 'Loyalty makes us family', seperti diduga, keberadaan Tan Cheng Hoe kini diketahui
Khabar angin bertiup kencang mengatakan jurulatih import akan menjadi pilihan utama buat ketiga-tiga pasukan untuk meneruskan baki saingan Liga Malaysia.
Namun begitu, ketiga-tiga pasukan itu juga pernah mengalami pengalaman pahit bersama jurulatih import.
Majoriti senaraikan tiga pengalaman pahit Penang, Selangor dan Terengganu bersama jurulatih-jurulatih import:
1. DNA Jerman (Selangor)
Empat tahun yang lalu, Selangor telah merangka projek jangka panjang untuk mencipta sebuah pasukan yang mempunyai identiti sendiri di dalam dan luar padang.
Gergasi Merah cuba menerapkan corak permainan dan DNA pasukan yang bakal memberikan manfaat kepada pasukan utama serta simpanan.
Namun begitu, projek yang ditunjangi oleh bekas pengarah teknikal, Michael Feichtenbeiner seolah-olah tidak nampak jalan bilakah Selangor akan mula menuaikan hasil.
Ombak semakin besar ketika Karsten Neitzel mengambil alih dan ia semakin sukar untuk dibendung impaknya.
Kegagalan Neitzel membuatkan Selangor memilih untuk memberikan Feichtenbeiner sendiri ruang mengemudi pasukan.
Namun, apabila seseorang mengapit dua jawatan penting dalam kelab ia jelas sekali tidak memberikan kesan positif.
2. Peter Butler (Terengganu)
Pada 1 Jun 2012, Peter Butler secara rasmi mengambil alih jawatan sebagai ketua jurulatih Terengganu FC daripada Mat Zan Mat Aris, meskipun beliau telah menjalankan tugas tersebut sebelum tarikh rasmi.
Sebagai ketua jurulatih, Butler menegur dua pemain yang pulang lewat sekitar pukul 3 pagi sebelum perlawanan penting menentang Kedah Darul Aman FC.
Tindakannya ini mendapat sokongan ramai penyokong Malaysia, tetapi tidak disokong oleh pengurusan kelab.
Akibatnya, Butler dikenakan penggantungan enam bulan, denda RM4,000, potongan gaji bulanan sebanyak 15 peratus dan pemecatan dari kelab.
Orang ramai menganggap hukuman ini sebagai tidak adil, seolah-olah sengaja untuk menyingkirkan beliau.
Butler juga masih mempunyai baki 15 bulan pembayaran kontrak yang belum dilangsaikan oleh Terengganu FC ketika itu.
Pada 18 Oktober, Lembaga Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membebaskan Butler daripada sebarang dakwaan, membatalkan penggantungan tersebut dan mengutuk Terengganu kerana mencemarkan nama baik FAM.
Mereka turut mengarahkan pihak pengurusan Terengganu untuk melunaskan baki kontrak Butler.
3. Ashley Westwood (Penang)
Untuk rekod, pada saingan musim 2022, Harimau Kumbang melantik tiga jurulatih untuk mengendali pasukan itu dan mereka ialah Tomas Trucha (Disember 2020 - April 2022), Manzoor Azwira sebagai caretaker (Mei 2022) dan Datuk Zainal Abidin Hassan.
Senario menganti jurulatih lebih daripada sekali juga pernah berlaku pada musim 2016 yang mana ketika itu menyaksikan pengendali dari Brazil, Jacksen Ferreira Tiago berkhidmat hingga April 2016, Manzoor sebagai pemangku (April - Mei 2016), Nenad Bacina (Mei - November 2016) dan Ashley Westwood dilantik pada Disember 2016.
Antara kesemua nama jurulatih itu, Westwood antara yang paling mencuri tumpuan kerana reputasinya sebagai seorang bekas pemain akademi kelab gergasi England, Manchester United.
Memetik laporan media ketika itu, Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) telah melantik bekas Westwood sebagai jurulatih Harimau Kumbang untuk saingan Liga Super dan pengalamannya ketika bersama Bengaluru akan membantu menaikkan prestasi pemain.
"Westwood adalah jurulatih yang disegani. Di bawah bimbingannya, Bengaluru memenangi beberapa kejuaraan, termasuk Liga-I, Piala Persekutuan dan berjaya mara ke suku akhir Piala AFC selama dua tahun berturut-turut," katanya Pengurus Pulau Pinang musim 2016, Zairil Khir Johari
Westwood adalah salah seorang pembantu Michael Appleton di Blackburn Rovers selepas mengikutinya dari Blackpool, tetapi berhijrah ke pasukan lain selepas Appleton ditamatkan kontrak di Rovers pada Mac 2013.
Jurulatih dari England itu menandatangani kontrak dua tahun dan walaupun dia berada dalam radar beberapa kelab di China, Hong Kong dan Eropah namun Penang menjadi pilihan hatinya.
Jodoh Westwood dengan Harimau Kumbang bagaimanapun tidak bertahan lama apabila berakhir pada Mac 2017 selepas FAP mengambil pendirian menamatkan kontrak ketua jurulatih pasukan itu.
Kontrak Westwood yang sepatutnya berakhir pada 2018 bagaimanapun ditamatkan berkuat kuasa serta-merta pada Mac 2017 dan posisinya dipangku pembantu ketua jurulatih, Darren Read.
Westwood sebelum itu dikritik banyak pihak selepas pasukan bimbingannya gagal untuk keluar dari tangga tercorot Liga Super 2017 selepas lapan perlawanan liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram