PIHAK pengurusan Selangor FC kini sedang giat mencari dan meneliti pengganti baharu Nidzam Jamil yang meletakkan jawatan sebagai pengendali Gergasi Merah pada 30 Oktober lalu.
Peletakan jawatan Nidzam sebagai pengendali Selangor itu menimbulkan 1,001 persoalan dalam kalangan peminat bola sepak selepas beliau cemerlang memacu Selangor musim ini.
Finalis Piala FA, tempat kedua dalam Liga Super serta pendahulu Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) antara pencapaian yang dicapai oleh Nidzam sebelum meletakan jawatan secara mengejut.
BACA LAGI: [VIDEO] Aksi kasari lawan, Arif Aiman bakal senasib Baddrol Bakhtiar?
Buff (hujung kiri tengah) kini merupakan pembantu jurulatih di skuad Grasshopper B-15 Tahun.
Kini pelbagai khabar angin mengaitkan ramai jurulatih dengan kerusi nombor satu di Selangor itu antaranya Datuk Ong Kim Swee dan beberapa calon daripada luar negara.
Namun begitu, Selangor juga boleh meneliti bekas pemain import mereka, Oliver Buff yang kini menjawat jawatan sebagai pembantu jurulatih di kelab Switzerland, Grasshopper Club Zurich.
Sebelum kehadiran Noor Al-Rawadbeh, Buff antara jeneral tengah yang berjaya membentuk gandingan mantap bersama Brendan Gan pada musim 2021.
Dalam 19 penampilan, Buff berjaya menjaringkan enam gol dan lapan bantuan jaringan di Liga Super.
Antara gerakan paling diingati oleh penyokong bola sepak apabila Buff berjaya memberi 'assist' kepada Ifedayo Olusegun yang menghasilkan jaringan gol buat Selangor ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
Namun jodoh Buff bersama Selangor hanya bertahan selama semusim selepas pemain berketinggian 1.76 meter (m) itu memilih untuk menyertai kelab Lithunia, FK Zalgiris Vilnius pada 2022.
Baru berusia 32 tahun, Buff kini memilih karier sebagai pembantu jurulatih skuad Bawah-15 Tahun Grasshopper Club Zurich yang sedang bertanding dalam liga akar umbi di Switzerland.
Dalam enam perlawanan, Buff berjaya membantu skuad muda Grasshopper mencatatkan tiga kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.
Pengalaman luas di pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL), LaLiga (Sepanyol) dan Liga Malaysia pastinya menjadi faktor utama pihak pengurusan membawa Buff ke dalam barisan kejurulatihan skuad muda mereka.
Selangor wajar mempertimbangkan Buff sebagai calon jurulatih kerana pengalaman luasnya di Eropah, mungkin tidak sebagai pengendali utama tetapi lebih kepada akar umbi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram