Kalah 0-5 di 'halaman sendiri', fans Perak tertanya-tanya venue lawan Kedah juga di SSI, siap dipujuk nyanyi 'Cintamu Mekar Di Hati'


  • Podium
  • Isnin, 11 Nov 2024

Pemain-pemain Perak meraikan kedatangan penyokong The Bos Gaurus yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad. — Perak FC

PERAK FC terpaksa akur tewas di 'halaman sendiri' selepas dibedil oleh barisan serangan Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan keputusan 0-5 dalam perlawanan tertunda Liga Super pada Ahad (10 November).

Perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor itu menjadi rumah singgah pasukan Perak selepas tidak mendapat kelulusan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk beraksi di Stadium Manjung, Perak.

Dalam perlawanan itu tercetus pelbagai kontroversi dan insiden pergaduhan antara kedua-dua pasukan sehingga pengadil, Razlan Joffri Ali terpaksa masuk campur.

BACA LAGI: Bergson da Silva curi perhatian, sarung jersi 42 milik Arif Aiman

BACA LAGI: Jangan ulangi kesilapan lama, 3 jurulatih import bawa 'malang' buat Selangor, Penang dan Terengganu

Insiden pertembungan Feroz Baharudin (JDT) dan Clayton da Silva (Perak) juga menjadi bualan penyokong selepas pengadil tidak memberikan sepakan penalti meskipun jelas ia kesalahan dilakukan oleh pemain pertahanan JDT dalam kotak penalti.

Selain itu, insiden membabitkan Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Super musim lalu, Arif Aiman Hanapi yang tidak dikenakan layangan kad merah selepas menumbuk Tommy Mawat Bada (Perak) juga menjadi perhatian pemerhati bola sepak negara.

Namun begitu, penyokong Perak seperti sudah menjangka keputusan akhir perlawanan itu tidak akan memihak kepada mereka selepas venue asal ditukarkan kepada Stadium Sultan Ibrahim.

Malah pihak pengurusan The Bos Gaurus juga memuat naik gambar pemain menyambut kedatangan penyokong di Stadium Sultan Ibrahim dengan kapsyen lirik lagu 'Cintamu Mekar Di Hati' di platform media sosial rasmi, seolah-olah memujuk penyokong yang sanggup datang ke stadium tersebut.

Malah, penyokong Perak tidak begitu kecewa dengan keputusan yang dialami oleh anak-anak buah Yusri Che Lah, namun lebih mempersoalkan perlawanan 'home' Perak selepas ini di mana?

Ini kerana MFL memberitahu perlawanan Perak-JDT tidak dapat dilangsungkan di Stadium Manjung kerana masalah lampu limpah dan status keselamatan yang ada pada venue itu.

Perak selepas ini akan menerima kunjungan Kedah Darul Aman FC pada 30 November sekali gus ia merupakan perlawanan 'berprofil tinggi' kerana aksi itu ialah 'Derby Utara'.

"Perlawanan menentang Kedah, 30 November nanti di Stadium Manjung atau di Stadium Sultan Ibrahim juga?" soal Mar Brightside.

"Lawan Kedah nanti boleh buat dekat Alor Setar dua kali, kita pergi utara pula," ujar Lotfee Jam.

"Ekoran tewas kali pertama di rumah baharu, Perak pilih untuk kembali ke rumah lama. Kekok bermain di rumah baharu punca Perak gagal fokus," jelas Afiq Ghali.

"Saya bayar bulanan, saya cakap 'home' dekat Perak, Peraklah 'home' kalau tidak 'terminate'," luah Syam Abd Jalil.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan penyokong Perak pilih untuk boikot semua aksi 'home' Manjung susulan keputusan tukar venue perlawanan.

Aksi Liga Super antara kedua-dua pasukan yang sepatutnya berlangsung di Stadium Perak dan Stadium Manjung itu ditunda sebanyak dua kali sebelum Liga MFL memutuskan Stadium Sultan Ibrahim sebagai venue baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram