Kehilangan Romel Morales buka jalan, rakan senegeri Tommy Mawat patut dah dapat tempat di Harimau Malaya


  • Podium
  • Selasa, 12 Nov 2024

Fergus telah melakukan 12 penampilan dalam Thai League 2 dengan satu jaringan serta satu 'assist' bersama Chonburi FC.

SKUAD Harimau Malaya terus dihimpit dengan siri kecederaan selepas pemain naturalisasi kebangsaan, Romel Morales dilaporkan tidak dapat melaporkan diri.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak dapat melaporkan diri selepas disahkan menerusi laporan perubatan selepas mengalami kecederaan ketika beraksi pada perlawanan Liga Super menentang Perak FC pada Ahad.

Ia sekali gus menjadikan Romel pemain ketiga yang mengalami kecederaan selepas Natxo Insa dan Mukhairi Ajmal Mahadi.

BACA LAGI: [VIDEO] Angkara tumbuk muka pengadil, bekas presiden kelab Turkiye kena penjara lebih 3 tahun

BACA LAGI: [VIDEO] 'Format dah tak menarik', belum mula tapi fans umum JDT juara Piala Malaysia 2024

Pengendali interim Harimau Malaya, Pau Marti Vicente menggugurkan Insa dan Mukhairi selepas kedua-dua pemain itu mengalami kecederaan ketika aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) minggu lalu.

Kecederaan Romel itu membuka peluang buat pemain muda negara, Fergus Tierney untuk mewakili skuad kebangsaan.

Tierney yang beraksi untuk kelab Thailand, Chonburi FC telah melakukan 12 penampilan dalam Thai League 2 dengan satu jaringan serta satu 'assist'.

"Fergus dan kapten, Dion Cools akan terus menyertai pasukan di Bangkok, Thailand setibanya skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti di sana esok (Selasa),” kata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan pada Isnin.

Susulan pengumuman itu, ramai penyokong berpendapat penyerang JDT II, Gabriel Nistelrooy antara pemain tempatan yang wajar diberi peluang untuk mendapatkan caps bersama skuad kebangsaan.

Ini kerana, pemain berusia 24 tahun itu membuktikan kredibilitinya sebagai penyerang tempatan apabila kini mengungguli takhta penjaring terbanyak Piala MFL 2024-2025.

"Fergus sudah dapat call-up senior, harap lepas ini Gabriel Nistelrooy keluar dari zon selesa dan loan ke mana-mana kelab, nak juga dengan Harimau Malaya ada penyerang lokal tulen," kata Aiman Mirza.

"Gabriel Nistelrooy tak kena panggil ke? Dengarnya dia penjaring terbanyak Piala MFL sekarang," kata Yun Okunio.

"Kenapa bukan Gabriel Nistelrooy yang dapat call-up?,semoga dia dapat peluang akan datang," kata Egu Isma.

Meskipun tidak berada dalam Senarai Bersedia, nama penyerang kelahiran Sarawak itu disebut-sebut kerana penyokong cukup kagum akan prestasinya dalam Piala MFL. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram