Kelab Penyokong Kuala Lumpur selesai AGM, harap Syed Yazid berjaya kembalikan kegemilangan City Boys


  • Podium
  • Ahad, 10 Nov 2024

KLFC mengadakan mesyuarat agung tahunan buat kali ketiga di Kuala Lumpur.

MASA nyata mencabar buat bola sepak Kuala Lumpur apabila kelab utamanya, Kuala Lumpur City FC mengalami masalah tunggakan gaji.

Tunggakan gaji yang berpanjang melanda skuad Warga Kota jelas menyukarkan ramai pihak terutamanya bagi para pemain dan pegawai yang bertungkus-lumus demi kelab.

Penyokong yang menyaksikan situasi tersebut juga terkesan. Pada mereka, masa depan kelab terumbang-ambing dan perlukan perubahan.

BACA LAGI: Syed Yazid Presiden baharu KLFA, tewaskan Abdullah Sani

BACA LAGI: Isu gaji KL City: Kenyataan CEO, pemain bercanggah, siapa yang betul sebenarnya?

Bagi Kelab Penyokong Kuala Lumpur (KLFC), mereka nyata menyambut baik pelantikan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur yang baharu iaitu Syed Yazid Syed Omar.

Bagi Setiausaha Agung KLFC, Shashidharan Sivabalan, mereka tetap akan memberikan sokongan penuh kepada Syed Yazid untuk mengembalikan era kegemilangan skuad Warga Kota.

"Kami di KLFC sentiasa akan memberi kerjasama kepada barisan kepimpinan baharu KLFA yang diterajui oleh Syed Yazid selaku presiden sama seperti barisan kepimpinan yang sebelum ini.

"Harapan Kami agar dapat meneruskan kemajuan pasukan selepas situasi KL City FC yang telah menunjukkan peningkatan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini," kata Shashidharan kepada Majoriti.

Dalam masa yang sama, KLFC seperti KLFA, baru menjalani mesyuarat agung tahunan mereka buat kali ketiga di VIOBA Cafe, Kuala Lumpur.

Mereka melantik Syazrul Effendy Ibrahim sebagai presiden sementara Abdul Manaf Abu Seman dilantik sebagai timbalan presiden.

Dalam mesyuarat agung yang turut dihadiri oleh Syed Yazid, KLFC menerima sumbangan dana sebanyak RM5,000 hasil sumbangan KLFA dan peribadi Syed Yazid untuk kegunaan kelab.

Menurut Shashidharan, wang tersebut akan digunakan untuk aktiviti persatuan serta perbelanjaan apabila awayday bagi ahli kelab yang sudah mencecah 280 keahlian.

"Dana Kelab biasanya digunakan untuk aktiviti melibatkan kelab penyokong, misalnya awayday untuk penyokong, apa-apa program bagi menghargai penyokong yang hadir ke stadium, apa-apa program kesukarelaan yg melibatkan penyokong dan komuniti setempat Kuala Lumpur," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram