TEKA-TEKI pemilihan jurulatih pasukan Penang FC masih lagi jadi bualan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan selepas hampir seminggu kerusi itu ditinggalkan oleh Akmal Rizal Rakhli.
Khabar angin mengatakan beberapa jurulatih tempatan berprofil tinggi berada dalam radar pihak pengurusan Harimau Kumbang untuk memacu Penang mengharungi baki saingan Liga Super musim ini.
Selain itu, jurulatih import juga dikhabarkan berada dalam perancangan pasukan Penang untuk terus mempebaiki prestasi Harimau Kumbang yang kini menduduki tempat ke-11 Liga Super.
BACA LAGI: [VIDEO] Bintang muda Barcelona alami pendarahan serius, terpaksa terima 10 jahitan dekat muka
BACA LAGI: [VIDEO] Ex 'duo' Selangor FC buat reunion semula di Indonesia
Penang musim ini telah tewas dalam tujuh perlawanan dan merekodkan lima seri serta dua kemenangan dibawah kendalian Akmal Rizal.
Bekas jurulatih berpengalaman luas dalam Liga Malaysia, Irfan Bakti bin Abu Salim berpendapat wajar buat pasukan Penang untuk fokus kepada pengambilan jurulatih tempatan yang sudah terbukti dalam saingan domestik.
Menurut Irfan, jurulatih import juga ramai mengambil lesen kejurulatihan di negara ini yang disediakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pasukan terakhir yang dikendalikan oleh Irfan ialah Kuching City FC.
"Ramai jurulatih import mengambil lesen kejurulatihan di negara ini (Malaysia), jadi 'level' mereka dengan lokal 'coach' tak jauh beza.
"Cuma kurangnya dengan jurulatih tempatan apabila jurulatih import ini mereka akan jaga betul-betul setiap sudut.
"Tapi kita juga sudah buktikan dengan Datuk Ong Kim Swee, Nafuzi Zain dan Nidzam Jamil sendiri, cuma nasihat saya kalau baru setahun atau dua pegang lesen tak usah bawa kelab Liga Super," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya jurulatih yang akan memegang jawatan pengendali Penang perlu mahir 'manage' pasukan bukan sahaja di atas padang.
"Cara dia (jurulatih) menguruskan pasukan itu macam mana, sebab ini bukan sahaja soal di atas padang.
"Jurulatih yang hadir nanti perlu tahu 'on and off' situasi yang berlaku untuk menyelesaikan masalah bagi Harimau Kumbang," jelasnya.
Irfan Bakti yang sebelum ini telah membawa banyak kejayaan buat pasukan Liga Super juga merasakan kelab-kelab Liga Malaysia perlu memberi masa buat jurulatih tempatan.
"Kalau kita nak banding dengan jurulatih tempatan? Perlu bagi peluang, sebab Nafuzi Zain dah buktikan beliau mampu melakukan sesuatu.
"Nidzam Jamil pun dah buktikan dia mampu membawa Selangor mara lebih jauh, namun seperti yang kita ketahui tekanan mengendali Gergasi Merah ini sangat besar.
"Selangor ini dah lama mempunyai sejarah tersendiri, jadi tekanan penyokong dan pihak pengurusan itu kita sangat faham.
"Jadi kebanyakan jurulatih tempatan pun dah buktikan yang mereka bola bawa kelab tempatan," ujarnya.
Bekas jurulatih berusia 73 tahun itu juga tidak menafikan ramai pemain tempatan lebih selesa dengan jurulatih luar.
"Pemain tempatan kita lebih selesa dengan jurulatih luar, tapi mereka juga menghormati jurulatih tempatan.
"Di sini jurulatih tempatan kena main peranan, pertama sekali anda kena ada ilmu dan pengalaman itu cukup penting.
"Terakhir semangat atau 'passion' peranan nak urus pemain itu sangat penting untuk seseorang jurulatih," jelasnya.
Untuk info, selain Penang FC, dua lagi pasukan Liga Super kini tidak mempunyai ketua jurulatih iaitu Selangor FC dan Terengganu FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram