PADA perlawanan akhir Terbuka Korea Selatan yang diadakan sehari selepas sambutan kemerdekaan, Pearly Tan-M Thinaah yang merupakan beregu wanita negara pulang dengan kekecewaan.
Namun, perasaan terbabit berjaya ditebus pasangan no 8 dunia itu setelah mereka merangkul gelaran Terbuka Hong Kong pada Hari Malaysia dengan kejayaan berkenaan diraikan orang ramai.
Mereka hanya memerlukan 38 minit untuk menundukkan beregu dari China, Liu Shengshu-Tan Ning dengan keputusan 21-14, 21-14 dalam aksi yang berlangsung di Kowloon, Hong Kong pada Ahad.
BACA LAGI: Pearly Tan-M Thinaah juara Terbuka Hong Kong 2024
BACA LAGI: Jangan hanya salahkan kerajaan, layanan adil atlet para perlu disemai di peringkat dasar
Pearly Tan-Thinaah (kanan) menumpaskan pasangan China pada Ahad.
Ia boleh dikatakan sebagai satu persembahan cukup baik daripada mereka yang mengawal keseluruhan permainan untuk mengejutkan pemenang pingat perak Olimpik 2024 itu.
Jurang keputusan lebih besar mampu diraih Pearly Tan-Thinaah pada set kedua ketika mereka mendahului 20-9, namun beregu China tersebut dapat merekodkan lima mata berturut-turut.
Bagaimanapun, pasangan negara itu akhirnya dapat meraih mata kemenangan untuk menamatkan penantian dua tahun bagi menjulang gelaran selepas kali terakhir membuat demikian pada Terbuka Perancis 2022.
Menariknya, kedua-dua kejayaan tersebut merupakan kali pertemu beregu wanita negara muncul juara dengan tiada wakil Malaysia pernah merangkul Terbuka Hong Kong sejak diperkenalkan pada 1982.
"Sejujurnya, kami tidak pernah terfikir untuk mencipta sejarah. Kami amat gembira dengan kemenangan ini. Kami beraksi dalam perlawanan akhir Terbuka Korea pada Hari Kemerdekaan, tetapi tidak dapat membawa pulang gelaran.
"Saya anggap Tuhan memberikan kami peluang kedua dan kami amat berbangga kerana dapat menjuarainya pada kali ini. Ini adalah hadiah untuk Malaysia, selamat Hari Malaysia kepada anda semua!" kata Thinaah selepas perlawanan.
Pearly Tan (kiri) dan Thinaah mahu prestasi cemerlang mereka diteruskan.
Atlet berusia 26 tahun berkenaan juga berpuas hati kerana perlawanan tidak diheret ke 'rubber set' setelah mensia-siakan lima mata dalam situasi 'match point'.
"Saya rasa kami berfikir perkara yang sama, kami mahu menamatkan perlawanan segera. Itulah sebabnya kami melakukan beberapa kesilapan yang tidak patut. Kami akan belajar daripadanya dan lebih berhati-hati pada masa akan datang," katanya.
Pearly Tan-Thinaah juga sudah tentu bergembira atas kejayaan berkenaan selepas muncul naib juara dalam beberapa pertandingan lain kebelakangan ini, termasuk dalam Malaysian Masters tahun lalu.
Bagi Pearly pula, persefahaman serta strategi di dalam gelanggang merupakan kunci kemenangan mereka dan akan turut berharap prestasi cemerlang dapat diteruskan.
"Kami berkomunikasi lebih kerap ketika perlawanan dan ini amat membantu antara satu sama lain, ia adalah perkara paling penting bagi kami. Kami mahu menjadi lebih konsisten sambil berharap untuk mengekalkan momentum ini," katanya.
Mereka bagaimanapun tidak mempunyai masa yang lama untuk meraikan kejayaan tersebut kerana bakal bersaing dalam Terbuka China yang akan bermula di Changzou pada Selasa. — The Star/R KIRUBASHINI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram