Bukan lagi ura-ura penyokong, khabar angin Arif Aiman ke Rangers raih perhatian media Scotland


  • Podium
  • Selasa, 12 Nov 2024

Arif Aiman sudah menjadi watak utama skuad Harimau Selatan sejak mencipta debut pada 2019. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

REPUTASI Arif Aiman Hanapi di pentas Asia tidak perlu disangkal selepas pemain sayap itu sekali lagi bersinar dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite musim ini.

Malah, kualitinya sudah didengari sehingga ke Eropah apabila baru-baru ini, gergasi bola sepak Scotland, Rangers FC dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya dalam posisi serangan.

Walaupun khabar angin itu sebelum ini hanya direka penyokong, ia sudah kian rancak selepas sebuah agensi media di negara itu, Ibrox News mula memberi perhatian mengenainya.

BACA LAGI: Metodologi tersusun, sokongan TMJ antara rahsia Akademi JDT hasil pemain persis Arif Aiman

BACA LAGI: Sebelum jadi superstar Chelsea, Cole Palmer pernah 'selisih' Arif Aiman, uji 2 bek Selangor

GLASGOW, SCOTLAND - SEPTEMBER 24: Rangers' Cyriel Dessers celebrates with his team mates as he scores to make it 1-0 during a cinch Premiership match between Rangers and Motherwell at Ibrox Stadium, on September 24, 2023, in Glasgow, Scotland. (Photo by Rob Casey / SNS Group)

Rangers FC merupakan salah sebuah pasukan terbaik di Scotland dan Eropah. Agensi

Perkara tersebut dihebohkan selepas portal media berkenaan mendapati beberapa laman berita tempatan menceritakan bagaimana penyokong pasukan itu menyedari bakat Arif Aiman.

"Laman sesawang akhbar Malaysia melaporkan pada Ahad lalu bahawa pemain berusia 22 tahun itu sebagai antara prospek terhangat di Asia dan sedang berada dalam radar Rangers selepas bersinar dalam ACL Elite.

"Menurut laporan tersebut, perpindahan boleh dimeterai seawal jendela perpindahan kedua pada Januari dengan kelab gergasi Scotland itu semestinya tidak mengalami sebarang masalah mengenainya," tulisnya pada Ahad lalu.

Artikel berkenaan pasti akan merancakkan lagi khabar angin tersebut dengan Arif Aiman sememangnya sesuai untuk berkelana ke luar negara selepas menjadi tonggak utama Johor Darul Ta'zim (JDT) sejak 2019.

Arif-Aiman-Hanapi_FA-Malaysia

Arif Aiman juga merupakan bintang Harimau Malaya.

Selain itu, kebolehannya ditampilkan setiap kali pemain berkenaan beraksi buat Harimau Malaya dengan dia juga pernah menjaringkan gol ketika Piala Asia 2024 berdepan Korea Selatan.

Jadi, tidak hairanlah apabila pemain kelahiran Pahang itu disebut-sebut akan berkelana ke luar negara dengan Rangers FC menjadi kelab terbaru yang menunjukkan minat terhadapnya.

Dalam kempen Liga Scotland musim ini, pasukan bimbingan Philippe Clement itu berada di tangga ketiga dengan sembilan mata membezakan mereka dengan dua kelab teratas, Celtic FC dan Aberdeen yang meraih 31 mata setakat ini.

Kehadiran Arif Aiman sudah tentu tidak dapat membawa perubahan drastik, namun ia dapat melebarkan pengaruh dan memperkenalkan jenama kelab itu di sekitar Asia Tenggara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram