[VIDEO] Sekilas fakta pengadil kontroversi Perak-JDT selalu beri penalti kepada Harimau Selatan, cuma Sri Pahang saja terkecuali


  • Podium
  • Isnin, 11 Nov 2024

Tangkap layar video memaparkan insiden tegang antara Arif Aiman dan Tommy.

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) berhasil memastikan mereka kekal unggul di persada Liga Super selepas berpesta gol menumpaskan Perak FC dengan keputusan 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim dekat Iskandar Puteri, Johor pada Ahad.

Hasil hatrik dari Bergson Da Silva dan dua jaringan Romel Morales membolehkan pasukan Harimau Selatan menambah tiga mata, yang kini menyaksikan mereka berada 11 mata di hadapan Selangor FC yang memperoleh 29 mata.

Perlawanan yang sememangnya bermula dengan kontroversi dek pertukaran venue ke Iskandar Puteri itu bertambah panas apabila insiden pergaduhan antara pemain tercetus pada babak kedua.

BACA LAGI: [VIDEO] Naik tangan hayun muka lawan, fans ‘hairan bin ajaib’ Arif Aiman tak dilayang kad merah

BACA LAGI: Boleh elak gol jika bek lebih 'alert', Azim mahu pastikan Selangor kekal tangga kedua kumpulan

Insiden tegang berkenaan melibatkan Arif Aiman Hanapi dan pertahanan Perak FC, Tommy Mawat apabila pemain sayap kanan JDT itu dikesan seakan-akan menghalakan tangannya ke arah muka Tommy.

Insiden kekasaran yang berlaku itu bagaimanapun tidak merujuk kepada Video Bantuan Pengadil (VAR) dan pengadil perlawanan iaitu Razlan Joffri Ali hanya menghadiahkan kad kuning kepada Arif Aiman serta Tommy Mawat.

Selain situasi tegang itu, penyokong Perak juga mempertikaikan mutu pengadilan apabila Razlan Joffri tidak menghadiahkan sepakan penalti kepada Perak selepas kekasaran yang dilakukan Feroz Baharudin ke atas pemain Perak pada minit ke-40.

Sedangkan, Razlan Joffri menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT selepas VAR mengesan kekasaran dilakukan pertahanan Perak FC, Jesper Nyholm ke atas Bergson pada penghujung babak pertama.

Tindakan Razlan Joffri yang dilihat seperti berat sebelah kepada JDT bukan hanya berlaku pada aksi menentang Perak apabila semakan Majoriti merekodkan dia telah memberi tujuh penalti kepada Harimau Selatan dalam lima perlawanan yang ditugaskan.

Sekilas fakta pada aksi musim lepas, pengadil itu memberikan satu sepakan penalti kepada JDT masing-masing ketika berdepan Negeri Sembilan, Kedah Darul Aman dan Sabah FC, namun tidak direkodkan ketika mereka menang 2-0 ke atas Sri Pahang FC.

razlan

Pengadil aksi Perak menentang JDT, Razlan Joffri.

Beralih pada musim 2024/2025, Razlan Joffri memberi satu keputusan sama ketika bertandang ke Likas, dua semasa perlawanan bertemu Penang FC di laman sendiri dan terbaru sewaktu aksi menentang Perak FC pada Ahad.

Dengan rekod sebegitu rupa, tidak hairan jika sebahagian penyokong mempersoalkan kredibiliti Razlan Joffri jika pegawai itu ditugaskan lagi untuk mengadili perlawanan Liga Super.

Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram