INSIDEN kontroversi antara pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada dan penyerang sayap Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Arif Aiman Hanapi masih menjadi topik penyokong bola sepak tanah air untuk berbahas mengenainya.
Pada aksi Liga Super 2024/2025 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Ahad, insiden tegang berlaku melibatkan Arif Aiman dan Tommy sehingga kedua-duanya dilayangkan kad kuning.
Kritikan-kritikan yang dilemparkan para penyokong bagaimanapun bertukar menjadi isu perkauman apabila terdapat peminat domestik menggunakan gelaran Dayak seperti ejekan kepada Tommy.
BACA LAGI: [VIDEO] Naik tangan hayun muka lawan, fans ‘hairan bin ajaib’ Arif Aiman tak dilayang kad merah
"Padan muka Dayak itu, tak pasal-pasal nak block orang, yelah dia kalah walau main di home," salah satu komen berbaur rasis daripada penyokong tanah air yang menyentuh perkauman.
Tidak duduk diam dengan komen sebegitu rupa, bek kiri berkenaan menegur penyokong berkenaan supaya tidak mengaitkan kaumnya dengan kejadian yang berlaku atas padang baru-baru ini.
Menurut Tommy, kejadian yang berlaku di laman JDT itu tidak menggambarkan kaumnya dan ia bukan tiket untuk para penyokong memberi kritikan sehingga menyentuh isu peribadi pemain bola sepak.
"Semua bebas untuk bersuara. Nak marah, tegur, maki semua boleh. Kita hanya manusia biasa dan hidup di atas muka bumi yang sama. Jika marah sekali pun jangan sebut mengenai keluarga dan kaum (Dayak).
"Betul saya dilahirkan sebagai Dayak dan ia kekal berada dalam darah saya. Sehingga ke hari ini, saya masih berbangga menjadi Dayak. Untuk semua, jangan bangkitkan isu perkauman (anda akan menyesal kemudian).
"Jangan Dayak Dayak kan aku. Macam mana kalau orang Dayak lain nampak dan baca komen anda. Boleh anda uruskan mereka? Jangan jadi badut dan rasis. Tuhan rahmati kamu. Terima kasih. Jangan sebarkan kebencian dalam bola sepak," katanya di InstaStory pada Isnin.
Tangkap layar Insta Story Tommy.
Pada Isnin media melaporkan, Arif Aiman dan Tommy tetap boleh dikenakan hukuman atau tindakan lanjut biarpun mereka hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali.
Kenyataan berkenaan diberikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil badan induk berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram