TINDAKAN luar kawalan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan bek kiri iaitu Tommy Mawat Bada yang berkelahi dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dekat Johor dikhuatiri akan mengundang padah lebih besar.
Hal ini kerana, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak (FAM), Datuk S. Sivasundaram berkata, kedua-dua pemain itu tetap boleh dikenakan hukuman atau tindakan lanjut biarpun telah dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali.
Kejadian membabitkan Arif Aiman dan Tommy itu bukan kali pertama berlaku dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) apabila sebelum ini dua pemain domestik iaitu Liridon Krasniqi serta Baddrol Bakhtiar juga pernah mengalaminya.
BACA LAGI: 'Saya bangga ada darah Dayak', Tommy Mawat bersuara lepas fans tinggalkan komen 'bakar line'
Mengimbau kembali perlawanan Liga Super pada 2018 membabitkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, kedua-dua bekas pemain Hijau Kuning itu diberikan tindakan dari Jawatankuasa Tatatertib FAM usai satu sesi mesyuarat diadakan.
Ketika itu, Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam mesyuarat kali kelima bagi penggal 2017-2021 pada 21 Mac 2018 menggantung Liridon sebanyak dua perlawanan.
Liridon digantung kerana melanggar Artikel 50.1(d) dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM akibat daripada tindakannya berkelakuan ganas dengan menyiku di bahagian leher pemain Perak, Leandro Dos Santos Oliveira ketika perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, pada 7 Februari 2018.
Manakala, Baddrol diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM akibat daripada tindakannya berkelakuan yang menyinggung ketika perlawanan menentang Perak.
Pada perlawanan berkenaan, pasukan Utara tanah air tersebut gagal catat kemenangan pertama di laman sendiri apabila tewas 1-3 kepada Perak pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Melihat kepada situasi dua bekas pemain Kedah itu, adalah tidak mustahil jika Arif Aiman dan Tommy akan digantung perlawanan kerana situasi mereka persis tindakan Liridon atau mesra dengan sapaan Mat Don pada enam tahun lepas.
Berdasarkan laporan Majoriti sebelum ini, FAM berkemungkinan akan membuat semakan video perlawanan situasi yang berlaku di SSI sebelum membuat satu keputusan mengenai nasib dua pemain tersebut.
"Ia selepas komiti disiplin FAM reviu (semula) video, jadi tidak salah kalau untuk insiden yang membabitkan Arif Aiman dan Tommy, pihak terbabit akan buat sedemikian melalui semakan video.
"Ini akan lebih memberikan transparensi kepada semua pihak," memetik laporan Majoriti sebelum ini.
Sekiranya Jawatankuasa Tatatertib FAM memilih untuk memberi hukuman gantung perlawanan kepada Arif Aiman dan Tommy, ia akan merencatkan percaturan jurulatih yang sering menggunakan khidmat mereka sebagai kesebelasan utama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram