HARAPAN DSAT Group untuk bergelar pemilik baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak kesampaian selepas kelab itu mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak berminat meneruskan rundingan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, kelab Utara tanah air berkenaan mengesahkan pihak mereka sudah membalas tawaran terhadap DSAT Group dikhususkan kepada anak syarikatnya, Mahsuri Medical Centre (MMC).
Pendirian diambil Kedah itu dilihat dibuat berikutan desakan orang ramai yang seperti kurang yakin terhadap Pengerusi Eksekutif DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek.
BACA LAGI: Ambil alih 100 peratus, Kedah ada masa 7 hari terima tawaran anak syarikat DSAT
BACA LAGI: Kalau kami dikatakan 'scammer', apa beza pemilik Kedah sekarang? — Bos DSAT

MMC dan DSAT Group terbuka atas keputusan KDA FC, namun yakin terdapat faktor luar mempengaruhi pendirian kelab itu. — Facebook/MMC
Membalas akan perkara itu, Mahsuri Medical Centre (MMC) tampil mengeluarkan kenyataan mengatakan mereka terbuka menerima jawapan pihak pengurusan KDA FC yang tidak berminat akan tawaran mereka.
Namun, mereka turut beranggapan tindakan terbabit dibuat selepas pihak pengurusan kelab Liga Super itu dihasut dengan retorik bahawa DSAT Group sukar dipercayai.
"MMC berpandangan keputusan diambil KDA FC pada hari ini (Isnin) mungkin dipengaruhi sentimen tidak sihat dan merupakan cerminan kenyataan pihak tertentu yang mahu mencemarkan reputasi MMC, khasnya DSAT Group.
"Mengambil kira perkembangan ini, pihak MMC, khasnya DSAT Group tidak menolak kemungkinan akan ada pihak yang perlu dipertanggungjawabkan atas kerosakan reputasi DSAT Group ini melalui tindakan undang-undang," katanya.
Perkara itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) mereka, Zaki Zamani Abd Rashid yang juga sempat memberikan ucapan maju jaya buat KDA FC dan mengharapkan kejayaan skuad Sang Kenari dalam arena bola sepak tanah air.
Sebelum ini, KDA FC dilaporkan mencari pemegang saham baharu berikutan kesukaran pemilik semasa, Tan Sri Mohd Daud Bakar dalam memastikan masalah kewangan kelab berulang.
Namun, sehingga kini, harapan itu terus malap dengan DSAT Group menjadi pihak terbaru menyatakan hasrat untuk meraih pegangan saham majoriti meskipun pelbagai usaha sudah diberikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
