KONFLIK pengambilalihan Kedah Darul Aman (KDA) FC semakin memuncak apabila pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar kelihatan seperti enggan melepaskan pasukan Utara tanah air itu.
Meskipun sebelum ini pernah menyuarakan sikap keterbukaan kepada mana-mana pihak yang berminat, kisah sebaliknya pula berlaku pada Jumaat selepas satu kenyataan dikeluarkan di laman media sosial kelab.
Dalam hantaran berkenaan, Daud Bakar menegaskan pendirian mengharapkan bantuan daripada orang lain adalah berisiko meskipun perkara berkenaan amat diharapkan penyokong.
BACA LAGI: Follower naik mendadak, fans Kedah korek habis maklumat bakal pemilik baharu, takut kena scam
BACA LAGI: Kedah sedia terima 'pinangan' DSAT siap pakej logo baharu, rupanya sudah dirisik sekian lama
Walaupun tidak menuding jari ke arah mana-mana individu, peminat Hijau Kuning seperti berasakan kenyataan itu dibuat terhadap Pengerusi Eksekutif DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek.
Ini kerana kesangsian mula timbul terhadapnya selepas orang ramai mendapati syarikat miliknya tidak mempunyai model perniagaan yang jelas meskipun baru-baru ini dikatakan menerima tajaan lumayan dari Timur Tengah.
Lapan persoalan diajukan Azizul Tandek kepada pihak pengurusan KDA FC. — Facebook/Dato' Seri Azizul Tandek
Selain itu, sesetengah penyokong mendesak agar Daud Bakar tidak melayani hasrat usahawan kelahiran Sabah itu kerana tidak mahu situasi lebih buruk dialami skuad Sang Kenari.
Enggan berdiam diri, Azizul Tandek tampil mengeluarkan kenyataan balas terhadap pemilik KDA FC itu dengan menyertakan lapan soalan di laman Facebook peribadinya.
"Adakah kami dari DSAT Group yang menjaga KDA FC sebelum ini hingga timbul masalah dalaman? Kenapa sampai pemain, pegawai dan staf perlu sengsara? Tanggungjawab siapa sebelum ini soal kebajikan pemain dan gaji mereka tidak dibayar?" soalnya.
Namun, tumpuan orang ramai diberikan kepada soalan terakhir yang mempersoalkan pandangan sesetengah pihak mengatakan kumpulan itu merupakan penipu berdasarkan model perniagaannya.
"Kalau DSAT nak bantu dikatakan 'scammer', bagaimana pula pemilik sekarang? Boleh tolong saya beri jawapan kepada persoalan saya? Jangan komen sahaja. Soalan sudah saya beri, jawapannya mana?" katanya.
Daud Bakar seperti enggan melepaskan pegangan saham majoriti skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Persoalan itu tepat diajukan kepada Daud Bakar yang sudah bersama KDA FC sejak penghujung musim 2022 dengan pelbagai perubahan mahu dicetuskan di dalam mahupun di luar padang.
Meskipun pada awalnya kelihatan sinar harapan buat skuad Sang Kenari, nasib berbeza disaksikan beberapa bulan kebelakangan ini dengan gaji pemain dikhabarkan tertunggak.
Situasi itu menyebabkan penyokong mendesak pihak pengurusan supaya mengundur diri dan memberikan mandat kepada pihak lebih diyakini, namun tiada siapa yang tampil menyatakan minat.
Penantian tersebut akhirnya berakhir apabila Azizul meluahkan hasratnya untuk memiliki 100 peratus saham kelab, namun Daud Bakar dan pihak atasan Kedah masih enggan berbuat demikian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram