PERNAH berjaya sehingga mengharumkan nama negara di persada antarabangsa, bintang Muay Thai negara iaitu Haikal Sampuri berhajat untuk terus melakukan perkara itu.
Haikal Sampuri atau nama sebenarnya Haris Haiqal Helmi tidak mahu detik indahnya mewakili Malaysia di Sukan SEA Kemboja pada 2023 terhenti.
Sebaliknya, anak jati Hulu Langat, Selangor itu mahu memastikan namanya terus ‘melekat’ sebagai wakil negara di kejohanan antarabangsa.
BACA LAGI: Tendangan kencang Haikal Sampuri rebahkan wakil Laos, gegarkan saingan Super Muay Malaysia
BACA LAGI: Lebih bagus daripada sesetengah import, Zikri Khalili patut sudah ‘lekat’ dalam skuad HM
Haikal pernah menyumbang pingat gangsa buat Malaysia di Sukan SEA 2023. — Majoriti/NAZREEN IZAHAR
Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2023 itu mahu terus mengetuk pintu skuad kebangsaan dengan mensasarkan Sukan SEA 2025 di Thailand sebagai destinasi.
“Tahun depan kita akan ada Sukan SEA di Thailand, jadi saya ingin rebut peluang untuk masuk ke dalam skuad kebangsaan.
"Sasaran saya jika terpilih adalah ingin mendapatkan pingat emas,” kata Haikal kepada Majoriti.
Haikal yang baru menamatkan zaman persekolahannya memasang impian meneruskan karier sebagai atlet Muay Thai secara profesional.
Ketika di Kemboja, Haikal merupakan sebahagian daripada lima pemenang gangsa dari acara tersebut.
Selain Haikal, Tengku Adam Fakruzie, Akashah Ramli juga menyumbang selain Athachai Saiphawat Kiang meraih dua gangsa untuk negara.
Untuk memastikan sasarannya mewakili negara berjaya dicapai, Haikal meletakkan fokus untuk menjadi atlet Muay Thai profesional ditambah dia kini sudah menamatkan persekolahan.
Masanya kini difokuskan untuk latihan sementara menantikan pertandingan seterusnya selepas Super Muay Malaysia 2024.
“Setakat ini masih belum ada perancangan untuk pertandingn seterusnya. Untuk itu, saya perlu seketika sebelum boleh sahkan pertandingan apa saya akan sertai,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram