'Kami tak punya wang ringgit tapi maruah pasukan lebih dari segalanya'


  • Podium
  • Khamis, 07 Nov 2024

Penyokong Perak jelas kecewa dengan keputusan dilakukan oleh pihak pengurusan The Bos Gaurus yang memilih SSI sebagai venue perlawanan tertunda. — Perak FC

"KAMI tidak punya wang ringgit tapi kamu meletakkan maruah pasukan lebih daripada segalanya,"

Begitulah respons negatif daripada penyokong Perak FC susulan pemilihan Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor sebagai venue perlawanan Liga Super yang tertangguh pada bulan lalu akibat hujan lebat.

Hal ini kerana, perlawanan yang sepatutnya dimainkan di Stadium Manjung, Perak tidak mendapat kelulusan daripada pihak MFL atas beberapa faktor yang tidak menepati piawaian perlawanan Liga Super.

BACA LAGI: Keputusan MFL, Perak FC satu penghinaan buat penyokong — Bekas YDP Majlis Perbandaran Manjung

BACA LAGI: Padang stadium, Mukhairi Ajmal jadi topik utama fans Selangor FC bertemu Jeonbuk Hyundai

Susulan itu, penyokong The Bos Gaurus (TBG) menerusi satu kenyataan yang dikongsikan oleh TheSupportes di laman Facebook memberi pesanan buat Pengurus Besar Perak FC, Neow Choo Seong dan pihak pengurusan kelab itu.

"Bagaimana seorang penyokong mampu menyokong kelab jika penyokong sendiri terasa dikhianati dengan pemilihan bermain di Stadium SSI yang merupakan gelanggang pihak lawan sebagai tuan rumah.

"Sehingga kini tiada apa-apa maklumat atau maklum balas daripada pihak Perak FC sendiri kepada penyokong. Adakah dengan memberi bas percuma dapat menghilangkan rasa sedih di hati?

"Bagaimana pula mereka yang telah menempah hotel dan sebagainya untuk menyokong pasukan? Bagaimana dengan usaha penyokong sewaktu dua kali perlawanan ditunda?," katanya.

Meskipun mereka berterima kasih kerana XOX sudi mengambil alih pasukan Perak namun 'ekor' The Bos Gaurus (TBG) itu mendedahkan bahawa mereka tidak pernah meminta atau merayu XOX untuk menyelamatkan pasukan Perak kerana pada dasarnya pasukan Perak ketika itu tidak perlu diselamatkan.

Menurut mereka lagi, pihak pengurusan juga seharusnya tidak melupakan pengorbanan penyokong yang mengeluarkan wang ringgit untuk memberikan sokongan kepada pasukan termasuk ketika Perak berdepan dengan masalah prestasi.

"Bagaimana dengan pelaburan penyokong yang sanggup berhabis ribuan ringgit untuk menyokong Perak FC dari segi pembelian merchandise, hadir ke stadium tanpa gagal, bertandang ke tempat lawan yang ada kalanya menambah kerugian kepada penyokong sendiri seperti tingkap bas penyokong pecah dibaling batu dan penyokong harus membayar ganti rugi demi menyokong Perak FC.

Perak FC

Pada 5 Oktober lalu, aksi Perak dan JDT ditangguhkan akibat hujan lebat dan permukaan padang yang tidak baik. — Facebook/PerakFC

"Dalam satu keadaan, penyokong sanggup mengeluarkan duit hasil tabungan sendiri demi bersama-sama di stadium menyokong pasukan, adakah kalian menunggang nama Perak FC hanya untuk kepentingan dan keuntungan semata-mata?

"Tidak pentingkah suara penyokong yang berada bersama ketika pasukan ini jatuh terperosok ke Liga Perdana dan penyokong-penyokong ini yang bermatian menyokong perjuangan Perak FC dan percaya Perak FC akan bangkit kembali menjadi salah satu gergasi bola sepak di Malaysia.

"Mungkin apa yang diusahakan para penyokong tampak sedikit buat pengurusan namun ketahuilah ianya lebih besar daripada yang disangkakan.

"Ini adalah nukilan dan ketegasan kami kepada pengurusan tetapi sehingga kini kami penyokong Perak masih menanti apa yang sebenarnya terjadi!

"Pemain dan pengurusan datang dan pergi, hanya penyokong kekal sampai mati!," jelasnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram