Memang ada suara yang mohon format liga dikembalikan... — Presiden PSM


  • Podium
  • Khamis, 07 Nov 2024

Negeri Sembilan Antlers dan KL Thunder berjaya curi slot ke saingan STL Champions Cup yang akan membuka tirainya pada 13 November depan. — Facebook/STL

PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan menganggap Kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) yang melewati sedekad tahun itu sebagai penganjuran terbaik, lapor Stadium Astro.

Perubahan format pertandingan yang dijalankan menerusi format grand prix (GP) di lima buah negeri iaitu Selangor, Terengganu, Perak, Pulau Pinang serta Johor menambahkan lagi keterujaan bukan sahaja kepada setiap pasukan bertanding, malah kepada penyokong setia sukan sepak takraw tempatan.

Sumali turut percaya saingan STL Champions Cup 2024 yang bakal membuka tirai di Serdang, Selangor Rabu depan mampu menarik lebih ramai kehadiran penyokong ditambah pula dengan penglibatan empat kelab luar negara dari Thailand, Singapura, Indonesia serta India.

BACA LAGI: Kedah sudah jawab Mahsuri, status terima atau tidak masih kekal misteri

BACA LAGI: Kelab pertama bakal miliki hospital sendiri jana pendapatan, DSAT Group terus 'up' tawaran jika miliki Kedah

photo_6154587319856906168_y

Pasukan KL Thunder yang diterajui oleh Sumali Reduan muncul juara keseluruhan bagi saingan STL musim ini. — Facebook/STL

"Alhamdulillah penganjuran STL yang memasuki edisi ke-10 lebih meriah disebabkan ada peringkat kalah mati dalam grand prix.

"Memang ada suara yang mohon agar format liga dikembalikan dan ini akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM supaya boleh diperhalusi untuk penambahbaikan STL pada tahun depan," katanya di Nadi Arena.

Dalam perkembangan sama, dia turut mengesahkan PSM akan mengadakan sesi bedah siasat bagi mengenal pasti kelemahan demi penambahbaikan kejohanan STL pada tahun depan termasuklah isu mutu pengadilan.

"Disebabkan satu kontroversi, kita tidak perlu jatuhkan bahawa ia satu hukuman yang teruk.

"Mungkin kontroversi itu berpunca daripada salah faham daripada segi undang-undang teknikal.

"Kami akan buat bedah siasat juga daripada segi mutu pengadil dan kelemahan (penganjuran) demi kebaikan STL akan datang," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram