PENGENDALI sementara skuad kebangsaan, Pau Marti sudah mengumumkan senarai pemain yang dipanggilnya untuk tugasan bertemu Laos dan India pada pertengahan November.
Senarai 26 pemain itu tidak banyak perubahan dengan panggilan sebelum ini tetapi kepulangan semula Dion Cools dan Natxo Insa ke kem Harimau Malaya menjadi tumpuan.
Namun begitu, dalam setiap panggilan, pasti ada pertikaian dalam kalangan penyokong.
BACA LAGI: 'On fire' di JDT, kepulangan Natxo Insa ke Harimau Malaya buat ramai tak senang duduk
Zikri (depan) tidak dipanggil dalam skuad 26 pemain Harimau Malaya.
Panggilan kali ini menyaksikan nama pertahanan Selangor FC, Zikri Khalili tidak berjaya memasuki senarai 26 pemain diseru oleh Marti.
Zikri musim ini menunjukkan peningkatan ketara terutamanya ketika Selangor dikendalikan oleh Nidzam Jamil. Sebagai rekod, Zikri melakukan sembilan penampilan dalam Liga Super dan tidak pernah terlepas sebarang aksi Selangor di Asia.
Lebih menarik, pertahanan kiri itu dianggap sebagai pemain yang 'bersih' apabila cuma mengutip satu kad kuning dalam kejohanan itu. Sebagai perbandingan, rakan sepasukannya iaitu Harith Haiqal mengutip tiga kad kuning dalam dua kejohanan tersebut.
Konsistensi ditonjolkan oleh Zikri bersama Selangor masih belum cukup untuk menembusi panggilan 26 pemain. Sebaliknya, dia hanya cukup untuk berada di senarai menunggu bersama-sama rakan sepasukan, Azim Al-Amin.
Melihat kepada situasi tersebut, ia mendapat respons daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Abu Bakar yang berasakan sudah sampai masa Zikri diberi kepercayaan mengemudi pertahanan negara.
"Zikri Khalili berhak mendapat panggilan skuad kebangsaan," ujarnya ringkas.
Malah, pendapatnya itu disokong penyokong Selangor yang melihat peningkatan Zikri musim ini. Tidak keterlaluan untuk mengatakan persembahan Zikri lebih baik berbanding sesetengah pemain import di Selangor.
"Dua, tiga tahun lepas, teruk Quentin Cheng dengan Zikri kena kritik. Sekarang tengok macam mana mereka lebih berguna dari sesetengah pemain import," ujar Hamizan Zafri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram